RUU Sumber Air Negara Sedang Dikaji

KOTA TINGGI – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang mengkaji Rang Undang-undang Sumber Air Negara (RUU SAN) bagi memantapkan pengurusan sumber air negara.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata RUU tersebut dijangka siap dalam tempoh setahun sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Kita sedang mengkaji (RUU SAN) dan kita percaya ia boleh dilaksanakan malah kerajaan negeri perlu bersetuju mengenai perkara ini.

“Ini kerana kita memerlukan keseragaman dalam undang-undang yang membabitkan pengurusan sumber air dan penyediaan infrastruktur secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baraj Sungai Johor, di sini hari ini.

Dr Xavier, bagaimanapun berkata kerajaan negeri berhak untuk tidak bersetuju, namun garis panduan yang wujud perlu diguna pakai dalam pengurusan sumber air di negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata pihaknya bersetuju RUU itu dikaji sekiranya ia memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kita bersetuju kalau kerajaan pusat berikan peruntukan dan sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Namun, kajian perlukan dilakukan secara mendalam sebelum dilaksanakan,” katanya.

Menerusi RUU itu, pihak kementerian boleh menjalankan projek berkaitan air secara holistik menerusi pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), dengan pembahagian sumber air akan lebih efisien sekali gus mengoptimumkan serta mengurangkan pembaziran sumber air negara.

Mengenai Baraj Sungai Johor, ia mula dibina pada 2013 membabitkan peruntukan RM96 juta bagi mengelak penerobosan air masin ke loji-loji rawatan air di Sungai Johor yang siap sepenuhnya pada Mac tahun lalu.

Ia juga bertujuan meningkatkan kebolehambilan air mentah kira-kira 400 juta liter sehari yang mampu menampung operasi loji-loji rawatan air milik Ranhill SAJ. – BERNAMA

Loading...