RUU Langkah Sementara Pembiayaan COVID-19 Dilulus

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 diluluskan di peringkat dasar selepas dibahaskan di parlimen hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pakej rangsangan ekonomi negara yang dilaksanakan kerajaan adalah daripada pinjaman domestik kerana negara mempunyai tahap kecairan kewangan yang mencukupi sekitar RM146 billion, sekali gus merendahkan risiko pertukaran mata wang asing.

“Buat masa ini, kerajaan akan menggunakan instrumen pembiayaan dalam negeri kerana ia dapat mengurangkan pendedahan risiko tukaran asing serta risiko pembiayaan semula,” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) – Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sebarang penerbitan bon atau sukuk antarabangsa perlu mempunyai objektif yang strategik terutamanya dalam membangunkan pasaran sukuk global serta mewujudkan tanda aras baharu sebagai ukuran dan rujukan untuk penerbitan sekuriti sektor swasta buat pelabur antarabangsa.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan penurunan nisbah Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas kepada dua peratus pada Mac 2020 serta fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama dengan mengiktiraf MGS dan MGII sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

“Langkah ini telah menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM30 bilion ke dalam sistem perbankan dan ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM dalam memastikan mudah tunai adalah mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan kewangan,” katanya.

Beliau juga berkata BNM juga telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 1.75 peratus, iaitu paras terendah sejak 2004.

Penurunan berturutan OPR itu, katanya, bertujuan terutamanya untuk menambah baik kegiatan ekonomi serta memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Mengenai perbandingan bantuan rangsangan antara Malaysia dan negara lain, Tengku Zafrul berkata ia adalah melebihi 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bukan tiga peratus seperti yang dikatakan.

“Rangsangan negara-negara lain tersebut turut mengambil kira sumbangan ekosistem keseluruhan. Ini termasuk jaminan kerajaan, sumber institusi perbankan, dan insentif cukai masing-masing.

“Oleh itu, perbandingan tadi kurang tepat dan dengan izin, not an apple-to-apple comparison (bukan perbandingan yang boleh dibandingkan) dan telah menyebabkan kekeliruan,” katanya,

Beliau juga memperjelaskan bahawa pembentangan RUU itu hanya melibatkan suntikan langsung fiskal RM45 bilion kerana ia adalah sejumlah wang yang akan dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Disatukan. 

Daripada jumlah RM45 bilion wang tambahan daripada pakej rangsangan itu sebanyak RM30.608 bilion telah disalurkan dan program subisidi upah mengambil pecahan yang terbesar.

“Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa keseluruhan rangsangan yang diperkenalkan kerajaan adalah RM295 bilion, atau hampir 20 peratus daripada KDNK.

“Daripada jumlah ini juga, RM145 bilion merupakan suntikan daripada pelbagai sumber seperti pembiayaan inisiatif Bank Negara, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan agensi kerajaan,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata sekiranya ada keperluan untuk suntikan fiskal tambahan, kerajaan bersedia untuk menambah jumlah rangsangan.

Mengenai moratorium, beliau berkata kebanyakan bank telah mula menerima permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar mulai 7 Ogos lepas.

“Pada masa yang mencabar ini, kemampuan bank untuk menyediakan penampan yang secukupnya amatlah penting bagi membolehkan mereka menyerap kemungkinan pinjaman terjejas atau non-performing loans (pinjaman tidak berbayar) yang lebih tinggi.

“Oleh yang demikian, bantuan bersasar ini memastikan usaha terus tertumpu demi manfaat peminjam yang  betul-betul terjejas. Ini juga bagi memastikan bank terus berupaya memberi pinjaman kepada isi rumah dan perniagaan untuk menyokong pemulihan ekonomi,” katanya.

Sebanyak 43,560 permohonan diterima daripada peminjam individu dan 22,266 daripadanya telah mendapat kelulusan.

Bagi baki kira-kira 21,294 permohonan, pihak bank sedang menunggu pengesahan daripada peminjam mengenai bantuan yang ditawarkan, katanya.

Mengenai pelanggan PKS termasuk usahawan mikro, beliau berkata, sebanyak 3,325 permohonan diterima dan 2,465 daripadanya telah mendapat kelulusan. – BERNAMA

Loading...