Rusuhan Di ‘Airport’ Antarabangsa Kuching

KUCHING – Satu rusuhan yang melibatkan 30 orang pekerja dan majikan Syarikat Man Oh Yu berlaku kerana ketidakpuasan hati dengan syarat yang dikenakan majikannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.

Pasukan Gerakan Am (PGA) telah bergegas ke tempat kejadian bagi membantu meredakan situasi yang berlaku dan setibanya di lokasi mereka berjaya menangkap pihak terbabit yang terlibat kerana mengadakan perhimpunan haram tanpa permit pihak berkuasa, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek.

Katanya, satu objek yang mencurigakan juga telah ditemui pekerja lapangan terbang tersebut semasa melakukan kerja pembersihan di kawasan tempat letak kereta di sini dan pihak berkuasa lapangan terbang tersebut telah dihubungi bagi membantu melakukan siasatan terhadap objek tersebut.

Bagaimanapun Ng berkata, situasi tersebut hanyalah satu latihan Ex-Rampas ‘Act of Aggression’ yang dilakukan oleh pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dalam persiapan menghadapi masalah krisis kententeraman awam.

Pengurus Lapangan Terbang KIA, Jun Iskandar Mushidi berkata tiada penerbangan ditunda dan semua berjalan mengikut jadual dan latihan ini merupakan yang pertama kali dilakukan disini.​​​​​​​

Latihan tersebut melibatkan 800 peserta daripada 42 agensi pertahanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kesiapsiagaan menghadapi ancaman pengganas, rusuhan dan letupan. – BERNAMA

Loading...