Rusia Bekal Peluru Berpandu Baharu Kepada Syria

RUSIA telah membekalkan peluru berpandu antipesawat terbaharu kepada Syria, dua minggu selepas pesawat peninjau Rusia ditembak jatuh di negara itu.

Sistem ini akan meningkatkan keupayaan pertahanan udara Syria, yang menerima berpuluh serangan Israel, termasuk ke atas kedudukan pertahanan Iran, yang membantu mempertahankan kerajaan Syria.

Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu berkata empat buah pelancar S-300 tiba di Syria pada Isnin lalu.

Lima belas anggota tentera Rusia mati apabila pesawat Il-20 dinaiki mereka ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh tentera Syria semasa satu serangan udara Israel ke atas wilayah Latakia.

Rusia menyalahkan Israel atas kejadian itu, tetapi Israel menolak dakwaan itu.

Pesawat Israel yang terlibat dalam serangan didedahkan telah menggunakan pesawat Rusia terbabit sebagai pelindung dengan terbang berhampiran pesawat membawa tentera Rusia itu.

Hubungan kedua-dua Rusia dengan Israel menjadi tegang akibat insiden itu.

Israel memberi amaran membekalkan peluru berpandu S-300 kepada Syria yang tidak bertanggungjawab akan membahayakan lagi rantau Asia Barat yang sudah sedia tidak stabil.

Penasihat keselamatan Amerika Syarikat John Bolton berkata keputusan Rusia membekalkan S-300 kepada Syria itu akan memburukkan perang saudara di sana dan menggesa Moscow menilai semula keputusan itu.

Rusia mempunyai sebuah pangkalan tentera udara di Syria, yang digunakan untuk operasi serangan udara bagi menyokong pasukan tentera Bashar al-Assad.

Dalam satu pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin, Shoigu berkata: “Kita telah menyempurnakan penghantaran sistem S-300.”

Katanya, 49 peralatan sudah tiba di Syria, termasuk empat pelancar, pengesan lokasi dan kenderaan kawalan.

Menurut menteri pertahanan Rusia itu lagi, sistem pertahanan itu akan berfungsi sepenuhnya menjelang 20 Oktober.

Penghantaran sistem S-300 itu telah digantung pada 2013 atas permintaan Israel.

Bagaimanapun, jelas Shoigu situasi sudah berubah selepas pesawat Rusia itu ditembak jatuh.

Pesawat Il-20 milik Rusia itu ditembak sekitar 35km dari pantai Syria ketika sedang dalam perjalanan kembali ke pangkalan udara Hmeimim di barat laut Latakia.

Agensi berita Rusia melaporkan pada masa itu yang pesawat itu “hilang semasa satu serangan oleh empat buah pesawat F-16 Israel ke atas kemudahan tentera Syria.”

Menurut kementerian pertahanan Rusia, pesawat Israel itu menggunakan Il-20 itu sebagai perlindungan, dan tidak memberitahu pihak Rusia terlebih dahulu tentang serangan itu, menyebabkannya memasuki kawasan liputan sistem pertahanan udara Syria. – Agensi