Rumawip Di Bawah Tanggungjawab KWP – Zuraida

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan bertangungjawab sepenuhnya terhadap sebarang keputusan mengenai pembinaan atau pembatalan projek Rumah Mampu Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya tiada kaitan dengan pembinaan atau pembatalan projek Rumawib dan hanya bertangungjawab dalam soal polisi dan juga peraturan.

“Sebelum ini, sememangnya ada cadangan semua projek perumahan diletakkan di bawah kementerian saya namun, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad minta Rumawip kekal diurus oleh kementeriannya.

“Kementerian saya hanya sediakan polisi dan peraturan sahaja selain menguruskan aduan pembeli. Soal pembangunan Menteri Wilayah akan buat keputusan akan teruskan atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mene­liti semula cadangan pembinaan projek [email protected] yang sebelum ini dirancang pembinaannya di Presint 9 di sini.

Terdahulu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim semalam berkata, buat masa ini pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil alih projek berkenaan.

“Difahamkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ambil alih projek ini kerana semua projek perumahan akan di letakkan di bawah kementerian terbabit

“Kementerian Wilayah Persekutuan tutup permohonan pembeli Rumawip di Putrajaya selepas PPj batalkan projek ini dulu,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Zuraida, KPKT akan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan sekiranya terdapat aduan oleh pemohon Rumawip yang dirancang dibina bersebelahan Putrajaya Sentral itu.

Rancangan pembinaan Rumawip di Presint 9 itu melibatkan pembinaan 2,000 unit rumah dengan 500 daripadanya akan dijual pada harga serendah RM80,000 dan pembinaannya dijangka siap pada 2024.

Sebanyak 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 65 meter persegi itu bakal ditawarkan kepada orang kurang upaya (OKU), penjawat awam dengan isi rumah bawah RM3,000 serta untuk komuniti masyarakat India. – K! ONLINE

Loading...