Rumah Kediaman Tidak Terjual Meningkat 30.6%

KUALA LUMPUR – Kediaman tidak terjual meningkat 30.6 peratus kepada 32,313 buah pada 2018 berbanding 24,738 buah tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan 27 peratus dari segi nilai kepada RM19.86 bilion.

Laporan Pasaran Hartanah 2018 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) hari ini mendapati, rumah kediaman bertingkat membentuk unit tidak terjual paling banyak iaitu 43.4 peratus.

Sektor komersial turut merekodkan peningkatan tidak terjual, yang ditakrifkan sebagi unit tidak terjual dalam tempoh sembilan bulan selepas dilancarkan.

“Kedai tidak terjual meningkat 11.2 peratus dalam jumlah kepada 5,055 buah dengan nilai RM4.08 bilion,” katanya dalam laporan berkenaan.

Menurut NAPIC dalam kenyataan, masalah hartanah tidak terjual di negara ini perlu diselesaikan dan memerlukan langkah holistik.

“Tidak terjual tidak bermakna terlebih bekalan. Ini kerana terdapat pelbagai faktor yang menyumbang seperti ketidakpadanan, kemampuan dan kos hidup. Ia juga adalah tentang mencari lokasi yang betul, harga yang betul, jenis yang betul untuk memenuhi permintaan yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, NAPIC menjangkakan, aktiviti pasaran harta tanah pada 2019 kembali stabil berdasarkan peningkatan dalam jumlah dan nilai transaksi pada akhir 2018. – UTUSAN ONLINE