Ruffedge Tak Melatah Dikritik

KUALA LUMPUR – Sebagai artis berpengalaman, Ruffedge sentiasa terbuka menghadapi kritikan, malah mengambilnya dari sudut positif kerana ia bukti peminat…

KUALA LUMPUR – Sebagai artis berpengalaman, Ruffedge sentiasa terbuka menghadapi kritikan, malah mengambilnya dari sudut positif kerana ia bukti peminat masih mengambil berat perkembangan kumpulan itu.

Anggota kumpulan itu, Azan Addin atau Azan Addin Abd Wahab, 44, berkata seiring kematangan usia, mereka semakin tenang berdepan pelbagai maklum balas peminat, selain menjadikan kritikan sebagai pemangkin masa depan kerjaya.

“Kecuali Sein, anggota kumpulan Ruffedge yang lain sudah mencecah usia 40-an. Dalam perjalanan itu, kami menempuh pelbagai laluan sebelum diterima dan syukur, kami masih mampu menghiburkan peminat hingga hari ini.

“Kami bertuah apabila masih ada yang memberikan komen dan mengkritik. Itu bermakna ramai mengambil berat,” katanya.

Selain Azan, Ruffedge turut dibarisi Cat Farish atau nama sebenarnya, Farrish Zaquan Ramli, 44; Zain Hamid (Mohd Kamaruzaman Zain Abd Hamid), 40; Mode (Syed Mohammad Syed Abdullah), 42, Amer Munawer (Amer Munawer Yusoff), 40, dan Sein (Syed Hussein Syed Mustafa Al-Qudsy), 35,

Kumpulan yang kembali bersatu di KL Live pada Ogos lalu selepas 11 tahun membawa haluan masing-masing dijadualkan menghiburkan peminat di Zepp@Bigbox pada 6 Oktober ini, sempena meraikan ulang tahun ke-20 Ruffedge.

Selepas kejayaan konsert di Kuala Lumpur, penerima trofi Artis Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2005 itu tidak menunggu lama untuk melangkah seberang tambak bagi memenuhi permintaan.

Walaupun tidak mencetus fenomena seperti di Kuala Lumpur apabila tiket langsai dalam tempoh beberapa minit, jualan tiket konsert anjuran Syiraz Projects itu sudah mencecah lebih 50 peratus. – BH Online

Loading...