Ruffedge Atur Strategi Dua Tahun Sebelum Comeback

PADA majlis perkahwinan pasangan selebriti Fattah Amin dan Fazura tempoh hari, nostalgia melanda tetamu-tetamu yang hadir apabila kumpulan Ruffedge kembali membuat kemunculan bersama pada malam itu.

Ruffedge yang merupakan sebuah kumpulan penyanyi padu suara pernah popular sekitar awal tahun 2000 dan sinonim dengan lagu-lagu berirama hip hop dan R&B.

Kini, mereka ingin kembali akif membuat kemunculan bersama dalam industri hiburan negara setelah berpecah lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanpun, kumpulan Ruffedge mendedahkan bahawa mukan mudah untuk kembali bersama memandangkan setiap ahli sudah mempunyai karier berlainan.

Menurut salah seorang ahlinya, Mode Abdullah, rancangan untuk membuat comeback itu hanya terlaksana tahun ini walaupun sudah dibangkitkan sejak dua tahun lalu.

“Kami semua sudah ada karier yang berlainan dan memang agak sukar untuk berbincang mengenai perancangan kemunculan semula.

“Alhamdulillah, perancangan tersebut akhirnya berjaya dilaksanakan pada tahun ini selepas dua tahun kami merancang bersama,” kata Mode memetik mStar Online.

Perkara tersebut turut diakui seorang lagi anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish yang menjelaskan bahawa mereka mula mengatur strategi untuk kembali sejak tahun 2016.

“Hasrat untuk kembali bersama disuarakan oleh Amer pada 2016. Kami merasakan ia adalah cadangan yang baik. Kami mula memilih lagu dan merancang perjalanan karier.

“Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa dan komitmen masing-masing, ia mengambil masa yang panjang untuk merealisasikan hasrat kami,” dipetik daripada Harian Metro.

Dalam pada itu, tambah Cat, single terbaharu Ruffedge akan dikeluarkan pada penghujung Mac depan yang turut akan menyaksikan mereka mengadakan konsert pengenalan semula sebelum bulan Ramadan atau selepas bulan Syawal.

“Insya-Allah pada penghujung bulan Mac depan Ruffedge akan mengeluarkan single terbaru. Tajuk lagu tersebut masih dirahsiakan dan akan diberitahu pada pelancaran nanti.

“Selain itu juga, kami ada perancangan untuk mengadakan sebuah konsert pengenalan. Bukanlah konsert besar tapi khas untuk peminat setia yang menyokong Ruffedge dari dulu lagi,” ujar Cat.

Ruffedge yang turut dianggotai Zain Hamid, Azan Addin dan Sein selain Mode dan Cat, akan muncul buat pertama kali secara umum 17 Mac depan di Movie Animation Park Studio (MAPS), Ipoh, Perak sempena menyambut hari jadi animasi bersiri popular Boboiboy.

Jelas Cat, pada hari tersebut, Ruffedge akan menghiburkan penonton selama dua jam dan akan turut melakukan aktiviti bersama pengunjung di MAPS.

Selain Ruffedge, artis-artis terkenal seperti Bunkface, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone akan turut memeriahkan MAPS sempena cuti sekolah yang akan bermula pada 17 hingga 25 Mac depan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...