RTS Tangguh 6 Bulan, Malaysia Bayar Pampasan

SEPANG – Malaysia dan Singapura mengesahkan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) ditangguhkan selama enam bulan berikutan kedua-dua negara sedang berusaha untuk mewujudkan “perjanjian tambahan” baharu.

Peguam Negara dan pegawai-pegawai berkaitan dari kedua-dua negara sedang bekerja keras untuk merealisasikan perjanjian tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan rakan sejawatnya di Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu sidang media bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tegasnya, kerajaan tidak akan membatalkan projek RTS sebaliknya hanya menangguhkan selama enam bulan sahaja bagi menyemak semula kos projek berkenaan supaya harga tambang dapat diturunkan.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi menurunkan kos supaya harga tiket dapat diturunkan.

“Ini bagi menggalakkan lebih ramai yang menggunakan RTS apabila ianya siap nanti,” katanya semasa sidang media berkenaan.

RTS bakal menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bharu dan stesen Woodlands North di Singapura dengan kos sebanyak RM4 bilion dan sepatutnya siap pada 2024.

Menurut Anthony, susulan penangguhan tersebut, projek itu dijangka siap lebih lama bagaimanapun dalam masa terdekat, kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor termasuk meminta kebenaran Singapura untuk meningkatkan kekerapan tren perantara di antara Johor Bharu- Woodlands.

Ketika ditanya mengenai pampasan selepas Malaysia meminta penangguhan tersebut, Anthony mengakui terdapat sejumlah wang yang perlu dibayar namun kosnya masih belum diketahui.

Jelasnya, perkara tersebut masih dalam pernilaian Jabatan Peguam Negara bersama hal-hal berkaitan dengan perjanjian tambahan itu.

Dalam pada itu, Boon Wan berkata, Singapura akan menangani isu tersebut sama seperti isu projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) iaitu menerusi konsep muhibbah dan bertolak-ansur.

Pada 1 April lalu, Boon Wan dalam jawapan bertulis di Parlimen Singapura memberitahu, projek RTS sudah tertangguh dan tidak mempunyai progres yang baik apabila Malaysia berulang-kali menangguhkan pengesahannya kepada republik berkenaan.

Ini menyebabkan Anthony mengeluarkan kenyataan kepada media yang mengatakan Malaysia akan meminta penangguhan selama enam bulan bagi meneliti semula beberapa opsyen berhubung projek berkenaan termasuk kos. – MalaysiaGazette

Loading...