RTS Tak Atasi Kesesakan Tambak Johor – Mahathir

JOHOR BAHRU – Pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan Tambak Johor, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kesesakan itu untuk jangka panjang adalah dengan membina sebuah lagi jambatan.

“Paling mudah ialah bina sebuah lagi jambatan. Kita nak bina jambatan tapi Singapura tak setuju walaupun selama ini Johor sangat bermurah hati dengan mereka kerana bekalkan air dengan harga murah.

“Secara tak langsung kita beri subsidi kepada kerajaan Singapura dan rakyatnya. Saya harap kita dapat naikkan sedikit harga air kerana realitinya Johor jual air kepada Melaka lebih mahal daripada Singapura,” katanya pada sidang media Pengumuman Projek RTS di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Dr. Mahathir berkata, walaupun RTS dibina, ramai pekerja rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura sebenarnya menaiki motosikal yang tidak boleh dibawa menaiki kereta api.

“Kita lihat orang lagi ramai ke Singapura (bekerja) menaiki motosikal. Jadi, kalau mereka ke stesen naik motosikal, kemudian naik tren, lepas itu, nak ke tempat kerja tiada motosikal, jadi masalah juga.

“Jadi, ini tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kepada penunggang motosikal, melainkan jika kita dapat membina satu lagi jambatan.

“Yang boleh selesaikan masalah adalah bina jambatan. Sekarang ini, kita tidak dapat buat jambatan sebab tidak mendapat persetujuan Singapura,” katanya.

Loading...