RTS: Sultan Johor Dibayar Jika Sah Tanah Milik Baginda

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membayar pampasan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekiranya dua plot tanah di Bukit Chagar disahkan dimiliki dan dibayar baginda bagi membolehkan kerajaan meneruskan projek Sistem Transit Pantas (RTS).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setakat ini, kerajaan belum menerima keterangan lanjut mengenai status tanah berkenaan.

Katanya, jika Sultan Ibrahim belum membayar tanah tersebut sebagai pemilikannya, ia tetap menjadi tanah Persekutuan.

“Jika dia (baginda) telah membayarnya, kita perlu membeli semula. Jika belum bayar, kita tidak perlu beli semula. Itu tanah kita (kerajaan).

“Kita memerlukan tanah itu bagi tujuan membina kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Dr. Mahathir mengulas dakwaan sebidang tanah di Bukit Chagar yang sepatutnya milik Kerajaan Persekutuan telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Beberapa individu yang mengetahui perkara itu memberitahu bahawa Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik tanah ini pada 28 Januari lalu.

Tanah tersebut merupakan salah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada kerajaan negeri Johor pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

RTS merupakan projek yang menghubungkan aliran rel Johor Bahru dengan Singapura bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di sempadan negara. – UTUSAN ONLINE

Loading...