RTM Dapat Hak Penyiaran Copa America 2019

KUALA LUMPUR – Berita baik untuk para peminat di Malaysia apabila kejohanan bola sepak terulung di benua Amerika iaitu Copa America 2019 akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya bersama RTM sedang berusaha untuk mewujudkan saluran sukan percuma untuk rakyat dalam siaran berdefinisi tinggi (HD).

Beliau menjelaskan, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu menjana dan membangunkan industri sukan di samping mewujudkan perpaduan dan meningkatkan semangat patriotik.

“Selain Copa America, beberapa acara sukan berprestij juga akan disiarkan di RTM seperti pertandingan Asian Basketball League (ABL), Cub Prix, Kejohanan Badminton Malaysia Axiata Open dan BWF World Championship.

“Acara sukan serantau, SEA Games Manila 2019 turut diberi perhatian selain perlumbaan Moto GP dan Martial Arts One Championship,” katanya.

Selain itu, Gobind turut berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mendapatkan hak penyiaran kejohanan bola sepak Eropah (Euro 2020) yang akan berlangsung pada tahun 2020 itu.

“Saya difahamkan RTM sedang berusaha untuk mendapatkan hak siaran tersebut,” katanya lagi.

Copa America 2019 akan berlangsung pada 14 jun hingga 7 julai ini melibatkan 12 pasukan termasuk dua pasukan jemputan daripada benua Asia iaitu Jepun dan Qatar. Mereka adalah finalist kejohanan Piala Asia yang diadakan pada bulan januari lepas.

Tahun lalu, RTM menyiarkan siaran langsung 41 perlawanan bola sepak Piala Dunia yang membabitkan penajaan sebanyak RM18 juta.

AirAsia Berhad (AirAsia) pula menjadi penaja emas dengan tajaan RM12 juta, sekali gus melengkapkan tajaan bagi pembayaran kos hak penyiaran acara sukan itu yang berjumlah RM30 juta.

Loading...