RRJ Capital Sedia Deposit RM500 Juta Bida PLUS

PETALING JAYA – RRJ Capital, salah satu syarikat menunjukkan minat untuk membeli PLUS Malaysia Berhad, sanggup menyediakan deposit RM500 juta dalam proses membida syarikat itu.

Pengerusinya, Richard Ong berkata kesediaan itu menunjukkan kesungguhan hasrat pihaknya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar negara.

RRJ Capital merupakan firma ekuiti swasta milik warga Malaysia, berpangkalan di Hong Kong. Selain syarikat itu tiga lagi pihak turut menunjukkan minat mengambil alih PLUS Malaysia.

“Ya, kami sedia meletakkan deposit tunai RM500 juta sebagai sebahagian daripada tawaran bidaan kami. Jumlah ini kami anggap wajar memandangkan ia adalah 2% daripada aset asas PLUS,” kata beliau dipetik BH Online.

Kata beliau, pihaknya serius dan amat berminat mengambil alih PLUS dan berharap dapat membantu pengguna khususnya golongan B40 dengan menurunkan kadar tol sehingga 30%.

“Jika ada syarat (deposit) sebegitu, kami amat mengalu-alukan ia, selagi ia adil dan telus kepada semua pembida,” kata beliau.

Minggu lalu, Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS patut membuktikan kesungguhan masing-masing dengan meletakkan deposit RM500 juta kepada kerajaan.

Kadir berkata, wang itu akan dikembalikan kepada mereka selepas Putrajaya membuat keputusan mengenai pihak yang berjaya mengambil alih konsesi lebuh raya yang dimiliki oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Cakap, cakap, janji kosong tiada nilai. Tunjukkan kepada kerajaan dan rakyat duitnya,” kata beliau di Facebook.

Semalam dilaporkan taikun Halim Saad menjadi pihak terbaru yang menyertai persaingan untuk menguasai syarikat tersebut, dengan membuat tawaran usaha sama dengan ahli perniagaan Wong Gian Kui untuk membeli pegangan 51 peratus yang dimiliki Khazanah pada harga RM5.2 bilion.

Ini berikutan langkah gergasi pembinaan Bumiputera Widad Business Group, firma ekuiti persendirian Hong Kong yang dimiliki rakyat Malaysia, RRJ Capiral dan Maju Holdings Sdn. Bhd. mengesahkan telah membuat tawaran masing-masing.

Lebuh raya yang terlibat dalam pengambilalihan Lebuhraya PLUS adalah Lebuhraya Lintasan Kedua, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Kerajaan berkata, ia akan mengkaji mana-mana tawaran untuk mengambil alih PLUS sekiranya ia memenuhi keperluan negara dan memberi manfaat kepada pengguna dengan kadar tol lebih rendah

Sabtu lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata semua tawaran itu akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam dua minggu lagi untuk diputuskan.

“Pada peringkat ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi KKR (Kementerian Kerja Raya) yang bertanggungjawab ke atas lebuh raya bertol di Malaysia, kita akan kemukakan semua tawaran ini kepada Kabinet. Kita akan menasihati Kabinet mengenai apa yang baik. Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya.

RRJ Capital berminat untuk mengambil alih 100% ekuiti PLUS termasuk kertas hutangnya, stok pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh tebus (RCULS) yang diterbitkan Projek Lebuhraya Usahasama Bhd, anak syarikat milik penuh PLUS.

Pengendali lebuh raya itu mempunyai hutang kira-kira RM30 bilion.

Ong juga mencadangkan pembentukan usaha sama 50-50 dengan dana persaraan nasional seperti KWSP, Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), sekali gus membolehkan kerajaan dan juga Bumiputera untuk terus mengekalkan kepentingan mereka dalam PLUS.

Dari segi kadar pembayaran tol, syarikat itu mencadangkan pengurangan 30%s kepada kereta yang berharga RM50,000 ke bawah, 20% untuk kereta berharga di antara RM50,001-RM100,000.

Diskaun 10% kepada kereta bernilai RM100,001-RM150,000 dan bagi kereta bernilai lebih RM150,000, kadar tol dikekalkan.

“Kami juga ingin mencadangkan supaya kadar tol untuk kereta mewah dinaikkan kepada satu kadar yang akan ditetapkan kelak.

“Bagi pemandu dari isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), mereka akan menerima pengurangan tol dalam jumlah yang besar dan pada kadar yang segera membabitkan nilai lebih RM1 bilion setahun,” kata beliau lagi. – FMT

Loading...