“Rotan Je Kalau Dia Langgar Peraturan” – Bapa Contoh

MELAKA – Seorang bapa telah melakukan perkara yang tepat dengan memberikan sebatang rotan kepada pengetua Sekolah Menengah (SM) Teknik Bukit Piatu, di sini, sebagai simbolik memberi amanah kepada pihak sekolah agar mendidik anaknya.

Zulkafly Ahmad, 43, dari Kampung Pasir Puteh, Bachang, berbuat demikian bagi memberi kebebasan kepada pihak sekolah menghukum anaknya jika melanggar peraturan sekolah atau tidak menumpukan perhatian dalam pembelajaran.

“Saya dan isteri sudah amanahkan kepada pengetua supaya merotan anak saya sekiranya dia melanggar peraturan dan tidak menumpukan perhatian dalam kelas.

“Saya rela anak saya dirotan sekiranya dia berbuat salah supaya dia dapat terus kekalkan kecemerlangan,” katanya memetik Sinar Harian.

Menurutnya, pemberian rotan itu juga sebagai tanda peringatan kepada anaknya, Al Khawarizmi Zulkafly Ahmad, 16, untuk teruskan mengekalkan disiplin yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan.

Al Khawarizmi merupakan bekas pelajar Sekolah Tinggi Melaka dan mendapat keputusan cemerlang 8A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu dan mendaftar masuk tingkatan empat di SM Teknik Bukit Piatu dalam jurusan Kejuruteraan Awam.

Pengetua sekolah, Karim Tumin berkata, beliau begitu terharu dengan amanah diberikan bapa berkenaan di mana beliau menyifatkan Zulkafly jelas memandang tinggi tugas seorang guru meskipun kebelakangan ini ramai ibu bapa bersikap prejudis terhadap tenaga pengajar di sekolah.

“Masih ramai melihat guru sebagai insan dipertanggungjawabkan untuk memastikan kejayaan pelajar menjadi seorang murid cemerlang dan membantu mengurangkan masalah disiplin bagi membentuk sahsiah diri yang baik.

“Bagaimanapun, tidak ada guru dengan sengaja mahu menghukum anak-anak murid tanpa sebab. Semua tindakan pasti ada alasan. Lagipun, murid-murid hari ini tidak sama dengan murid-murid zaman dahulu,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...