Rosmah Buat Kunjungan Hormat Ke Atas Megawati

JAKARTA – Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor membuat kunjungan hormat ke atas bekas Presiden Republik Indonesia Megawati Soekarnoputri di kediamannya di Menteng, Jakarta di sini hari ini.

Dalam kunjungan kira-kira dua jam itu, Rosmah turut mengundang Megawati sebagai seorang daripada penceramah utama Seminar Jenayah Seksual kanak-kanak: Hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 dan 14 Mac ini.

Megawati juga dijadual menyampaikan perutusan khas bertajuk, ‘Kerjasama ASEAN dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak’ pada persidangan itu.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah isteri Timbalan Presiden Republik Indonesia Mufidah Jusuf Kalla dan beberapa menteri.

Rosmah berada di Jakarta bagi mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) sejak semalam dan berakhir hari ini.

Najib dan Rosmah pulang ke tanah air petang tadi. – BERNAMA