ROS Tak Terima Permohonan Buka Parti Baharu

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menubuhkan parti baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Mohamed Azmin juga tidak pernah bertemu dengannya, memaklumkan berhubung penubuhan parti terbabit.

“Dari mana anda mendapat maklumat ini. Sekadar khabar angin, jadi jangan dengar khabar angin.

“(Mohamed) Azmin pun tidak pernah memaklumkan pada saya kata nak daftar parti. ROS ada terima banyak permohonan nak buka parti baharu tetapi tiada (permohonan) dari Azmin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual sempena 100 hari menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bakal menubuhkan parti baharu yang dikenali Parti Keadilan Negara bersama pemimpin lain yang bertindak keluar daripada PKR.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, yang turut dikaitkan dengan penubuhan parti itu, menafikan pembabitannya dan mendakwa hanya mengetahui mengenai parti terbabit selepas seorang pegawainya menunjukkan ciapan di Twitter, memaparkan gambar carta organisasi parti berkenaan.

Mengulas mengenai pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Hamzah yang juga Setiausaha Agung parti itu berkata, pihaknya kini sedang menunggu kebenaran ROS untuk memulakan semula baki mesyuarat bahagian yang tertangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebaik ROS menarik semula penangguhan terbabit, kita akan mengumumkan bila tarikh mesyuarat agung parti. Kita akan umumkan. Buat masa ini saya akan meminta kebenaran (ROS) untuk memulakan mesyuarat bahagian terlebih dahulu.

“Ini kerana kita masih ada lagi 29 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat. Jadi tiada isu kononnya kita tidak mahu mengadakan mesyuarat dan sebagainya,” katanya. – BH Online

Loading...