Ronaldo Beri Bayangan Tinggalkan Real Madrid

PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo memberi bayangan bahawa penampilannya dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool mungkin aksi terakhirnya bersama kelab itu.

Real memenangi perlawanan tersebut 3-1 sekaligus berjaya memenangi trofi berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut sejak musim 2015/2016.

Kejayaan Real itu menyaksikan Ronaldo kini telah menjulang gelaran tersebut untuk kali kelima secara peribadi dengan empat gelar dimenangi bersama Real dan trofi sulungnya dimenangi ketika bersama Manchester United.

Biarpun tidak menjaringkan gol pada perlawanan itu, Ronaldo masih dinobat penjaring terbanyak kejohanan dengan 15 gol musim ini.

Ketika ditemui beIN Sports usai perlawanan, Ronaldo gagal untuk memberi maklum balas jelas mengenai masa depan kariernya bersama kelab tersebut dan hanya memberitahu bahawa dia akan mengumumkan keputusannya dalam masa terdekat.

“Saya akan menikmati detik ini dan dalam tempoh beberapa hari lagi saya akan berikan jawapan kepada peminat yang sentiasa bersama saya,” kata Ronaldo.

“Saya seronok sepanjang berada di Real Madrid. Saya akan bercakap mengenainya beberapa hari lagi,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas tentang komennya yang kelihatan seperti ucapan akhir buat peminat Real, Ronaldo cuba mengelak berbincang mengenai masa depannya.

Ujar Ronaldo, pencapaian Real lebih penting dan ini bukanlah masa yang sesuai untuk berbincang mengenai situasi peribadinya.

“Mungkin ia bukan masa yang tepat. Saya tidak mahu mengalih perhatian terhadap apa yang dicapai Madrid. Menang tiga gelaran Liga Juara-Juara satu detik yang unik. Situasi peribadi tidak penting ketika ini.

“Saya perlu berehat sekarang, dan kemudiannya menyertai kem pasukan Portugal (sebelum Piala Dunia). Dalam beberapa minggu selepas itu, saya akan buat pengumuman,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama Ronaldo memberi bayangan mahu menuju pintu keluar dari Real, sebaliknya perkara ini sudah beberapa kali berlaku.

Menurut laporan media antarabangsa, antara penyebab Ronaldo mahu meninggalkan Real adalah disebabkan hubungan keruhnya bersama Presiden Real, Florentino Perez.

Dalam pada itu, Ronaldo yang kini berusia 33 tahun secara berseloroh berkata, kejohanan tersebut perlu ditukar nama kepada Liga Juara-Juara CR7 yang merujuk namanya sendiri.

“Siapa yang kecewa? Mungkin mereka perlu tukar nama kejohanan ini kepada CR7 Champions League. Siapakah yang mempunyai kejuaraan dan gol terbanyak dalam kejohanan ini?” kata Ronaldo ketika ditanya sama ada dia kecewa selepas gagal menjaringkan gol pada perlawanan itu.

Pencapaian Ronaldo dalam kejohanan tersebut tidak boleh dipertikaikan lagi di mana dia telah mencetak 120 gol sepanjang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...