RON97 Naik Lagi 8 Sen, RON95 Dan Diesel Kekal

PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini sehingga 22 Mac depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97 pula naik sebanyak 8 sen iaitu daripada RM2.46 kepada RM2.54 seliter untuk tempoh sama.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 Mac hingga 22 Mac depan sepatutnya adalah masing-masing sebanyak RM2.24 dan RM2.37 seliter.

“Bagaimanapun, harga runcit kedua-dua produk petroleum berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi tempoh tersebut,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, ia berikutan keputusan jemaah menteri untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

“Kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – K! ONLINE

Loading...