RON97 Naik 2 Sen, RON95 Dan Diesel Kekal

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter iaitu daripada RM2.52 kepada RM2.54 seliter.

Bagaimanapun, harga RON95 dan diesel kekal pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter masing-masing.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini, harga baharu itu adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Harga runcit produk petroleum terbabit adalah bagi tempoh 8 sehingga 14 April 2021.

MOF berkata, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan. 

Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – myMetro Online