RON92 Tidak Akan Dikembalikan Demi Komitmen Jaga Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mengembalikan penjualan petrol RON92 kerana kandungan sulfur yang tinggi dalam bahan api itu boleh mencemarkan alam sekitar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata walaupun terdapat banyak cadangan agar bahan api itu kembali dijual di pasaran untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat, kerajaan tidak dapat menimbangkannya kerana turut terikat dengan protokol antarabangsa.

“Yang membezakan RON92, 95 dan 97 ialah kadar kandungan sulfur. Lebih kurang kandungan sulfur makin kurang pencemaran alam sekitar namun harganya lebih mahal.

“Tetapi sebagai sebuah negara yang terikat dengan protokol antarabangsa (berkenaan alam sekitar), kita dikehendaki mematuhi jadual untuk bergerak ke arah penggunaan minyak yang kurang kandungan sulfurnya,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu kata Saifuddin, dasar kerajaan buat masa ini ialah mengekalkan penggunaan RON95 dan RON97.

— LAGI

NEGARA-GULUNG (KPDNHEP) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Menurut Saifuddin, faktor lain ialah perkembangan industri automatif negara yang kini dengan enjin direka bergerak dengan minyak berkualiti tinggi.

Beliau berkata ia juga sejajar dengan Dasar Automotif Negara iaitu enjin kenderaan hendaklah ditetapkan sekurang-kurangnya menggunakan minyak RON95.

Sementara itu, mengulas mengenai Kedai Ekonomi Pengguna (I-KEEP) yang dahulunya dikenali sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia, Safuddin berkata sejak dimulakan semula pada 29 Nov lalu, terdapat lebih 300 premis rakan strategik yang bekerjasama dengan kementerian bagi menawarkan harga yang kompetitif kepada pengguna.

Katanya kementerian menyasarkan untuk mempunyai lebih 500 premis berkenaan menjelang 2020.

Antara rakan strategik yang terlibat ialah Segi Fresh, KK Super Mart dan beberapa koperasi termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad. – BERNAMA