Rompak Mandat Rakyat Lebih Zalim – PKR Selangor

PARTI Keadilan Rakyat (Keadilan) Selangor merujuk kepada kenyataan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan yang membidas kononnya Keadilan berlaku zalim dalam proses pemecatan YB Haniza Talha, mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga mantan Ketua Wanita Keadilan oleh parti.

Keadilan Selangor ingin mengingatkan YB Mohamed Azmin bahawa keputusan pemecatan itu adalah tepat; malah berlandaskann prosedur sebenar serta timbang rasa yang tinggi sebelum dilaksanakan.

Tindakan demikian adalah bersesuaian bagi meluruskan semula fokus Keadilan dari diganggu gugat oleh anasir yang ingin melihat parti hancur dengan matlamat dan hala tuju yang tersasar dari agenda Reformasi yang sebenar.

Malah, tuduhan zalim yang dilemparkan itu adalah lucu apatah lagi datang dari pemimpin yang menjadi penggerak kepada kejatuhan kerajaan yang dibina daripada mandat rakyat. Justeru Keadilan Selangor merasakan bahawa tindakan merompak mandat rakyat adalah lebih zalim.

Keadilan yang ditubuhkan dengan berpaksikan semangat perjuangan tidak boleh membiarkan hala tujunya dicorakkan oleh mereka yang meleburkan segala jerih perih serta keringat segenap lapisan rakyat bagi menumbangkan kleptokrasi yang kini diletakkan kembali di Putrajaya.

Keadilan Selangor memberi dokongan penuh kepada keputusan tertinggi parti, malah yakin pemecatan YB Haniza Talha akan lebih melonjak semangat Wanita Keadilan khususnya Negeri Selangor yang telah menunjukkan komitmen terbaik ketika dalam krisis yang sengaja dicetuskan baru-baru ini.

YB Halimey Bin Abu Bakar
Ketua Penerangan KEADILAN SELANGOR / ADUN Seri Setia

Loading...