Rohana Wanita Pertama Dilantik Presiden Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Badan Kehakiman sekali lagi melakar apabila Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu, menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi dalam Badan Kehakiman.

Pelantikan Rohana, 63, yang berasal dari Bachok, Kelantan itu berkuat kuasa hari ini.

Pada 2 Mei lalu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi dalam badan itu.

Tiga lagi hakim wanita Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Yusof, 54; Datuk Zabariah Mohd Yusof, 60; dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, 60, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ini menjadikan enam wanita memegang jawatan hakim mahkamah tertinggi negara ini daripada 13 hakim.

Terdahulu, Rohana mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, di Istana Kehakiman, petang tadi manakala ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan baharu mengangkat sumpah di hadapan Tengku Maimun.

Turut dilantik hari ini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Nantha Balan E S Moorthy yang kedua-duanya Hakim Mahkamah Tinggi, manakala dua Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Datuk Azmi Abdullah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Semua pelantikan mereka berkuat kuasa hari ini.

Rohana yang hadir bersama keluarganya, memperoleh LLB (Hons) dari Universiti Malaya pada 1980 dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1980 sebagai Penolong Penggubal, Undang-Undang (Parlimen) di Jabatan Peguam Negara.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 September 2005 dan Hakim Mahkamah Tinggi pada 17 April 2007.

Pada 8 Januari 2013, Rohana dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan pada 27 April 2018 sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Loading...