‘Rogol Dalam Perkahwinan Bukan Kesalahan’

KUALA LUMPUR – Perlakuan rogol dalam perkahwinan sukar dibuktikan di mahkamah, sekali gus membuatkannya tidak dilihat sebagai kesalahan buat masa…

KUALA LUMPUR – Perlakuan rogol dalam perkahwinan sukar dibuktikan di mahkamah, sekali gus membuatkannya tidak dilihat sebagai kesalahan buat masa ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata pesalah lebih cenderung untuk dilepas berbanding disabitkan dengan kesalahan itu.

“Kerajaan mengambil kira semua faktor dan berasa belum tiba masanya menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai kesalahan.

“Bagaimanapun, jika ada kes membabitkan kekerasan rumah tangga, Seksyen 375A Kanun Keseksaan digunakan untuk memastikan hak wanita terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-PKR Petaling Jaya) mengenai pendirian kerajaan berhubung kesalahan rogol dalam perkahwinan.

Mohamed Hanipa turut mengalu-alukan pandangan semua pihak tanpa mengira kaum bagi memberi kesedaran berhubung kes terbabit kerana ia dianggap sebagai isu merentasi agama.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pernah ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan berkaitan rogol dalam perkahwinan.

Katanya, dapatan jawatankuasa itu dikemukakan ketika pembentangan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 pada 12 Julai 2006.

“Jawatankuasa itu mengesyorkan peruntukan khusus iaitu jika suami mencederakan isterinya atau meletakkan isterinya atau orang lain dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan tujuan mengadakan hubungan seks, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.

“Pendirian ini tidak bertentangan dengan mana-mana prinsip agama. Dalam konteks ini, apa yang ditekankan adalah kecederaan yang dilakukan oleh suami ke atas isteri,” katanya.

Mohamed Hanipa berkata, walaupun Seksyen 375 Kanun Keseksaan memperuntukkan pengecualian persetubuhan suami isteri dalam perkahwinan sah dan masih berkuat kuasa di sisi undang-undang tidak boleh dianggap sebagai rogol, ia bukan imuniti kepada suami.

Oleh itu, katanya, kerajaan mengekalkan peruntukan berkaitan mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

“Ia memandangkan kesalahan mendatangkan kecederaan ke atas isteri bagi mengadakan hubungan seksual sudah diperuntukkan mengikut Seksyen 375A kanun sama,” katanya. – BH Online

Loading...