Roboh Rumah Rakyat Ketika Jerebu Tindakan Kuku Besi

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Selangor meroboh rumah rakyat di Kampung Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh ketika keadaan jerebu yang sangat bahaya adalah perbuatan zalim.

Apatah lagi mangsa dibiarkan begitu sahaja tanpa disediakan tempat perlindungan sementara untuk mereka meneruskan kehidupan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau terkejut, terkilan dan kecewa sekali melihat mangsa terdedah dalam keadaan cuaca buruk akibat jerebu.

“Rumah mereka dirobohkan, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor langsung tidak menyediakan tempat tinggal untuk mereka.

“Ini tindakan zalim dan kuku besi yang tidak berperikemanusiaan. Apa nasib mereka, anak-anak kecil yang tidak berdosa ini?

“Apa salahnya kerajaan sediakan rumah panjang dan sebagainya untuk sementara kalau belum ada lagi rumah PPR? Atau mereka dipindahkan ke tempat yang selamat untuk tinggal?” soal beliau menerusi kenyataannya kepada media.

Kelmarin, kerajaan Selangor memutuskan untuk merobohkan rumah penduduk yang dibina atas tanah rizab berhampiran Sungai Kedondong Paya Jaras.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, tindakan merobohkan kediaman itu telah dirancang sejak 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama pada 2015.

Bagaimanapun, katanya, perobohan ditangguhkan berikutan penduduk terbabit tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan.

Menurut Ismail Sabri, tindakan diambil kerajaan PH Selangor di luar jangkaan dan batasan kemanusiaan.

“Jika di luar negara, rakyat Rohingya, Palestin dan sebagainya yang memerlukan bantuan, kita turun hulurkan bantuan, tetapi di negara sendiri dilayan sebegini rupa.

“Ada rumah yang ada geran sementara 99 tahun diluluskan oleh kerajaan pun mereka robohkan dan ada juga yang kata mereka penduduk tetap, bukan warganegara.

“Bagi saya setiap manusia perlu dilayan sebagai manusia sama ada warganegara atau penduduk tetap, mereka tidak boleh dilayan dengan kejam seperti ini. Robohkan rumah mereka tanpa disediakan tempat tinggal alternatif,” katanya.

Beliau berkata, berapa lama penduduk terbabit harus tinggal dalam khemah tanpa dinding beralaskan tanah ini.

“Tiada kemudahan asas lain. Dalam cuaca jerebu yang tidak selamat, berapa lama mereka boleh hidup terdedah kepada udara yang telah diisytiharkan tidak selamat lagi. Ada bayi dan kanak-kanak telah mula selesema, ruam dan lain-lain.

“Pihak pembangkang Selangor akan kemukakan usul dan membawa isu ini dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Malah, saya bersama pembangkang lain di Parlimen akan membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat.

“Tindak tanduk zalim dan tidak berperikemanusiaan seperti ini tidak boleh dibiarkan lagi dan mendesak Menteri Besar, Amirudin Shari dengan segera menyelesaikan isu ini. Pindahkan mereka segera ke tempat yang lebih selamat,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...