Friday, April 26, 2024

Creating liberating content

Bagaimana Gen Y Berpendapatan...

Mungkin beberapa tahun lagi kita boleh bertemu perkara ini di Malaysia. Pejabat tidak lagi diperlukan. Istilah kerja masuk jam 8 pagi tidak ada lagi.

Reman 5 Suspek Bunuh...

Seremban : Lima lelaki warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang...

Cadangan Sambut Merdeka Tanpa...

KUCHING - Hari Kemerdekaan berkemungkinan disambut tanpa menyatakan bilangan ulang tahunnya mulai tahun...

Bawa Isu Kestabilan Harga...

KUALA LUMPUR – Malaysia akan membawa isu kestabilan harga pasaran getah dunia di...

Robert Rizal: Bunuh 5 Musuh Dalam 3 Pertempuran

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

TAHUN 1973 bukan sahaja menjadi tempoh yang mencabar buat Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) tetapi juga kepada Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah yang kini berusia 55 tahun.

Pada tahun tersebutlah, beliau yang ketika itu berpangkat Kapten telah terlibat dalam tiga pertempuran hebat yang menyaksikan seramai 12 pengganas komunis tumpas di tangan anggota pasukannya.

Daripada jumlah itu, seramai lima pengganas telah mati di muncung senjata Robert Rizal sendiri.

Pertempuran pertama yang membabitkannya ialah semasa melaksanakan operasi di Nonok, Kuching yang kini dikenali sebagai Asajaya pada Januari 1973.

Waktu itu beliau mengetuai Platun Kilat iaitu platun elit 3 RRD.

Dalam satu serangan ke atas tempat rehat musuh, platun tersebut berjaya membunuh dua pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dengan salah seorang daripadanya dibunuh sendiri oleh Robert Rizal.

Sebelum berjaya menemui tempat rehat musuh itu, mereka terpaksa melakukan penjejakan selama kira-kira seminggu di kawasan paya dan berair sekitar Nonok.

”Penjejakan tersebut memang amat sukar. Kebanyakan masa kami habis merentasi paya. Kerap kali juga, kami terpaksa memikul pek di atas kepala untuk memastikan ia kering,” katanya.

Tiga bulan selepas kejayaan itu, Platun Kilat sekali lagi terlibat dalam pertempuran tidak berapa jauh dari satu penempatan penduduk di Balai Ringin, Serian.

Dalam pertempuran itu, seorang pemimpin nombor empat tertinggi dalam Kompeni Ketiga PKKU yang dikenali sebagai Lee Kuen berjaya dibunuh.

Ia adalah hasil penjejakan yang berdasarkan nota rahsia milik musuh yang berjaya dijumpai oleh mereka dengan dibantu oleh seorang musuh yang telah menyerah diri serta pegawai polis Cawangan Khas.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Robert Rizal kerana ketua musuh itu berjaya dibunuh sendiri oleh beliau selepas satu daripada tiga bom tangan yang dibalingnya singgah ke tempat musuh tersebut.

Menyerang Khemah Musuh

Bagaimanapun, pertempuran pada 11 Oktober 1973 di Nonok berhampiran Semarahan mencatat sejarah terbesar buat anak Sarawak kelahiran Sri Aman ini.

Ini kerana hasil daripada pertempuran membabitkan Kompeni D 3 RRD itulah maka beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) bersama Lans Koperal Ahmad Adnan (bersara Pegawai Waran I).

Mengimbau semula pertempuran kali ketiga yang dilaluinya itu, Robert Rizal memberitahu, pasukannya telah menyerang khemah yang diduduki seramai 54 musuh daripada Kompeni Pertama PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok.

Serangan itu menyaksikan kompeninya berjaya membunuh seramai tujuh orang musuh termasuk empat wanita.

”Tiga daripada mereka dibunuh oleh saya,” katanya sambil menegaskan sepanjang setahun bertugas di Sarawak beliau telah berjaya membunuh lima pengganas PKKU.

Sehari sebelum itu, iaitu pada 10 Oktober, Platun Nombor 12 kompeni tersebut yang diketuai oleh Leftenan Muda Zainal Annuar berjaya membunuh dua daripada anggota gerombolan musuh terbabit.

Kematian mereka umpama edisi membalas dendam memandangkan empat hari sebelum itu yang juga bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Robert Rizal yang ke-25, anggota peninjau hadapan platun itu telah terbunuh dalam pertempuran dengan PKKU.

Apa yang membanggakan ialah kematian tujuh orang musuh itu merupakan satu pencapaian yang luar biasa kerana ketika itu kekuatan kompeni berkenaan hanyalah 15 orang sedangkan musuh seramai 54 orang.

”Itulah kelebihan elemen kejutan dalam serangan yang kami lakukan mulai pada 6.15 pagi iaitu ketika fajar hampir menyingsing selepas menunggu dalam kesejukan malamnya,” ujar beliau.

Walaupun begitu, dalam serangan tersebut seorang lagi anggotanya terbunuh manakala Ahmad Adnan tercedera.

Bagi Robert Rizal, kejayaan membunuh lima orang musuh dalam tempoh 10 bulan merupakan pencapaian terbaiknya sepanjang 23 tahun bergelumang dalam dunia ketenteraan.

”Saya telah memberikan yang terbaik untuk unit saya. Saya percaya jumlah musuh yang dibunuh itu masih menjadi rekod pasukan dan gagal dipecahkan oleh sesiapapun dalam 3 RRD sehingga kini,” katanya.

Selain operasi di Sarawak, Robert Rizal turut mempunyai banyak pengalaman ketika menyertai operasi di Semenanjung Malaysia.


Pada tahun 1976 misalnya, anak keenam daripada sembilan beradik ini telah terlibat dalam Ops Pagar bertujuan mengepong gerombolan musuh di Ayer Kala, Gerik.

Meskipun, kompeni yang diketuainya telah dikerah ke berbagai tempat, namun tiada musuh yang berjaya ditemui.

Sebaliknya, salah satu platun 3 RRD yag diketuai oleh Leftenan Muda Panir Chelvam teleh berjaya membunuh seorang musuh dan menawan seorang yang lain dalam satu pertempuran di Ayer Kala.

Ekoran kejayaan itu, Panir Chelvam telah dianugerahkan pingat PGB oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tatkala terlibat dalam Ops Cahaya Bena II berhampiran Ban To, Betong, Thailand pada lewat tahun 1977 pula, kompeni beliau telah diarah untuk menyerang satu kedudukan musuh.

Namun, serangan tersebut gagal selepas musuh berjaya mengesan kehadiran mereka terlebih dahulu.

”Musuh melarikan diri sebaik sahaja terlihat kami menyeberangi Sungai Perak,” katanya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa melakukan penjejakan semula musuh.

Ketika penjejakan diteruskan pada keesokan harinya, malang menimpa pasukan itu apabila seorang anggotanya putus kaki kiri selepas terkena jerangkap samar.

Walaupun begitu, dendam mereka terhadap musuh ekoran kejadian itu akhirnya terbalas apabila Kompeni C, 3 RRD berjaya membunuh dua pengganas komunis Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh dari kedudukan mereka tidak lama selepas itu.

Saya telah memberikan yang terbaik untuk unit saya. Saya percaya jumlah musuh yang dibunuh itu masih menjadi rekod pasukan dan gagal dipecahkan oleh sesiapapun dalam 3 RRD sehingga kini.

Tangkap Musuh Hidup-hidup

Pada tahun 1984, Robert Rizal yang sememangnya gemar terlibat dalam operasi di hutan telah dipilih mengetuai satu tim khas untuk melaksanakan satu operasi sulit di Kanowit, Sibu di bawah Ops Jala Raja.

Dalam operasi itu, beliau dibantu oleh empat anggota 3 RRD di samping seorang Pengawal Sempadan.

Untuk tugasan itu, mereka diarah menangkap hidup-hidup musuh yang dijangka muncul di jeti Sungai Kanowit.

”Untuk itu kami telah menanti sebaik malam menjelma dan menunggunya dengan sabar.

”Pada kira-kira pukul lima pagi barulah dua orang lelaki yang dipercayai pengganas komunis muncul di jeti berkenaan.

”Sebaik mereka muncul, kami terus serbu dan tangkap mereka,” katanya sambil memberitahu ketika serbuan dilakukan kedua-dua mereka langsung tidak melawan.

Malah tiada sebarang senjata api ditemui daripada mereka.

Berbicara tentang prinsipnya sewaktu menjadi pegawai tentera, lelaki berketurunan Iban ini berkata, beliau akan melakukan segala arahan dengan bersungguh-sungguh.

Disebabkan itulah, katanya ketika operasi beliau akan memburu komunis sehingga dapat bertempur.

Tegas Robert Rizal, beliau memang sukakan pertempuran kerana sebab utama beliau memasuki tentera ialah untuk membunuh seramai mungkin pengganas komunis yang menjadi pengkhianat negara.

”Apabila matlamat kita jelas, maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya,” ujar beliau. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori