RMKe-12 Garis Tindak Balas Menyeluruh Tangani Kesan COVID-19

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 September ini akan menggariskan tindak balas dasar yang menyeluruh dalam mendepani situasi yang mencabar akibat pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, strategi yang akan dilaksanakan dalam RMKe-12 akan mengambil kira pelbagai usaha untuk memulih dan menjana semula ekonomi yang terkesan disebabkan oleh COVID-19 serta menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif dan mampan.

“Selain itu, pelbagai langkah bagi membantu pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan diperkenalkan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober. Kesemua langkah proaktif yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah bagi memastikan setiap lapisan rakyat terbela.

“Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan dan langkah yang sudah diambil untuk menangani kesan daripada pandemik COVID-19, ekonomi negara akan kembali kukuh, berdaya tahan dan mapan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) meminta Perdana Menteri menyatakan secara teliti langkah proaktif kerajaan untuk mengatasi kemerosotan ekonomi negara yang mencatat kemerosotan -5.6 peratus pada 2020 sehingga menimbulkan masalah sosial serius.

Menyentuh pelaksanaan darurat sebelum ini, Ismail Sabri berkata, penyataan yang mengatakan pengisytiharan darurat bagi mengatasi pandemik COVID-19 gagal adalah kurang tepat.

“Kerana terdapat kebaikan-kebaikan yang jelas daripada Proklamasi ini yang sudah membolehkan kerajaan melaksanakan tindakan mengukuhkan pengurusan kesihatan awam dengan lebih berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Liong (PH-Labis).

Katanya, penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat membolehkan kerajaan menguruskan Pandemik COVID-19 secara menyeluruh dengan mengimbangi antara kepentingan kesihatan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara.

“Namun begitu, virus COVID-19 yang bermutasi dan mencetuskan varian baharu lebih ganas dan mampu merebak melalui udara serta ditambah pula dengan ketidakpatuhan segelintir masyarakat terhadap SOP menyebabkan wabak ini menular dengan pantas dan mendatangkan cabaran yang besar kepada kerajaan untuk menanganinya,” katanya.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), beliau berkata dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 masih relevan sebagai dasar yang akan memacu negara dalam membentuk ekonomi, mengagih kekayaan, membangunkan infrastruktur, menjana kesejahteraan sosial serta memupuk semangat perpaduan dalam acuan Keluarga Malaysia.

“WKB 2030 ini akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju di mana pengagihan ekonomi adalah lebih adil dan saksama demi kemakmuran bersama,” katanya. – BH Online