RMK12 Akan Dibentang Di Dewan Rakyat Mac Depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat dalam sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke14 yang dijadualkan pada Mac 2021. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Unit Perancang Ekonomi, (UPE) kini dalam proses memuktamadkan dokumen RMK12. 

Semua strategi dan inisiatif RMK12 dijajarkan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG). 

Sesi libat urus secara meluas telah diadakan dalam tempoh 18 bulan lalu bagi memastikan ‘tiada sesiapa yang tertinggal’ dalam penggubalan dan pelaksanaan pelan pembangunan negara ini.

“Maklum balas dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan sudah diambil kira termasuk sektor awam dan swasta, pakar industri, akademik, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan, organisasi antarabangsa, Jemaah Menteri, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta masyarakat umum melalui pelbagai saluran termasuk libat urus dalam talian. 

“RMK12 akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha memantapkan ekonomi negara dan memastikan kehidupan yang wajar untuk rakyat, selaras dengan prinsip “Prihatin”, Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BH Online