RM800,000 Had Harga Hartanah Pemilik Asing Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan had harga bagi warga asing untuk membeli hartanah mewah di negeri itu ditetapkan pada RM800,000, berbanding RM600,000 diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, pengurangan had harga bagi pembeli hartanah warga asing sepatutnya hanya terpakai bagi tempoh enam bulan daripada satu tahun seperti dibentangkan dalam belanjawan.

“Tujuan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengurangkan had harga bagi warga asing (membeli kondominum yang telah dibina) daripada RM1 juta kepada RM600,000 adalah untuk menangani isu hartanah tidak terjual di negara ini, tetapi di Pulau Pinang isu (hartanah tidak terjual) adalah terkawal,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, hartanah tidak terjual di Pulau Pinang telah berkurangan daripada 3,916 unit pada 2017 kepada 3,502 unit pada 2018, manakala ia meningkat di negeri lain seperti Johor (4,376 kepada 6,066 unit antara tahun 2017-2018) dan Selangor (3,713 kepada 4,623 unit).

“Cadangan itu dibincangkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) dan akan dibincangkan lebih lanjut dan disahkan kemudian pada mesyuarat Exco kerajaan negeri akan datang,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep turut mengulas skim pembiayaan Sewa Milik (RTO) yang turut dibentangkan oleh Lim dalam Belanjawan 2020.

Skim RTO, menurutnya, perlu mengutamakan pembeli rumah kali pertama untuk membeli unit kos rendah dan kos sederhana masing-masing bernilai pada RM42,000 dan RM72,500, serta rumah mampu milik pada RM150,000.

“Bagaimanapun, menurut pengumuman Belanjawan 2020, skim RTO terpakai kepada hartanah bernilai pada RM500,000, (yang) bagi saya, mereka yang mampu beli pada harga itu tidak perlu untuk dibantu,” katanya.

Loading...