RM15.5 Juta Dibelanjakan Tahan Kapal Equanimity

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara memaklumkan sebanyak RM15.5 juta telah dibelanjakan untuk menahan kapal layar mewah milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low sejak 6 Ogos tahun lalu hingga 30 April lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, perbelanjaan tersebut melibatkan caj-caj berlabuh dari Ogos hingga November tahun lalu di Boustead Cruise sebanyak RM407,000 sebelum dialihkan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Langkawi, Kedah tanpa sebarang bayaran sehingga diserahkan kepada pembeli pada 25 April lalu.

“Kira-kira RM12.2 juta telah dibelanjakan untuk kos-kos pengoperasian bagi menyelenggara kapal tersebut sepanjang sembilan bulan melibatkan yuran agensi untuk ejen-ejen tempatan, yuran pengurusan untuk syarikat pengurusan profesional kapal layar, gaji anak-anak kapal, insurans dan sebagainya. RM400,000 dibelanjakan untuk mendapatkan perkhidmatan penilai dan pentaksir profesional.

“Kira-kira RM1.6 juta dibelanjakan untuk yuran guaman Tetuan Joseph selaku peguam cara yang mewakili kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), RM360,000 untuk yuran kaunsel kepada Ong Chee Kwan dan RM40,000 kepada Tetuan Holman Fenwick William untuk nasihat guaman,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini Kapal layar mewah Equanimity yang didakwa dimiliki Jho Low, dijual kepada Genting Malaysia Bhd. (Genting) ataupun syarikat tujuan khas (SPV) miliknya pada harga AS$126 juta (RM522.65 juta).