RM100,800 Kompaun KPDNHEP Kompaun KPDNHEP Kes Libatkan Ayam Dan Telur

8

JOHOR BAHRU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengenakan kompaun sejumlah RM100,800 bagi 118 kesalahan sepanjang kempen Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, tindakan kompaun itu dikenakan melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak meletak tanda harga, menjual melebihi harga kawalan dan tidak guna papan tanda harga warna merah jambu.

Beliau berkata, kesalahan itu dikesan setelah melakukan 4,037 pemeriksaan meliputi 3,974 pemeriksaan di peringkat peruncit, 53 di peringkat pemborong dan 10 di peringkat peladang.

“Kempen bermula 5 Februari hingga 5 Jun depan ini sebagai langkah menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalan di pasaran selain memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup. Sepanjang tempoh penguatkuasaan dilakukan, sebanyak 118 kes dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM100,800 telah dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hairul berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sejumlah RM2,200 bagi 18 kes di bawah akta yang sama sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022.

Katanya, SHMMP HRP 2022 berkuat kuasa pada 26 April sehingga 10 Mei lalu iaitu tujuh hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.


“Sepanjang pelaksanaan SHMMP (HRP) 2022, KPDNHEP Johor melakukan 586 pemeriksaan meliputi 581 pemeriksaan di peringkat peruncit dan lima di peringkat pemborong mengesan 18 kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM2,200 dikenakan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran.

“KPDNHEP Johor mengambil serius mengenai isu ini dan ingin menasihatkan peniaga-peniaga agar mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Seramai 200 penguat kuasa di seluruh Johor akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan harga barangan adalah berpatutan dan stabil. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga,” jelasnya.

Pengguna di negeri Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada pihak Kementerian menerusi 03–80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC).

-Utusan Online