Rizab Asing BNM Jatuh RM3.8 Bilion Sejak PH Berkuasa

PARAH… Ekonomi Malaysia ternyata berada dalam situasi buruk selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah Kerajaan Persekutuan sekali gus membuktikan pentadbiran baharu masih kucar-kacir.

Selepas negara gempar tindakan pelabur asing bawa keluar ekuiti RM5.6 bilion selama 19 hari dari Bursa Malaysia; menjadikan Mei sebagai bulan paling tinggi catat aliran keluar dana, kali ini Bank Negara Malaysia (BNM) pula.

Media antarabangsa melaporkan dalam tempoh 15 hari sahaja kerajaan baharu PH berkuasa, rizab antarabangsa bank pusat tempatan itu kehilangan lebih AS$900 juta (kira-kira RM3.8 bilion) dalam stok simpanan luarnya.

Menurut laporan yang dikeluarkan BNM semalam, rizab asing bank tersebut hanya berjumlah AS$108.5 bilion (RM431.26 bilion) setakat 31 Mei 2018 berbanding sebanyak AS$109.4 bi­­­­lion (RM434.84 bi­lion) pada 15 Mei 2018.

Baca: RM5.6 Bilion ‘Hangus’ Di Bursa Sebulan PH Berkuasa

Dalam kenyataan media tersebut, BNM berkata, kedudukan rizab berkenaan adalah sekadar memadai untuk membiayai selama 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar nege­ri bagi tempoh jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab tukaran asing sebanyak AS$102.1 bi­lion atau RM405.81 bilion selain kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa iaitu AS$0.8 bilion atau RM3.17 bilion.

Juga membabitkan Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$1.2 bilion atau RM4.77 bilion, rizab emas (AS$1.6 bilion atau RM6.36 bilion) dan aset-aset lain (AS$2.8 bilion atau RM11.13 bilion).

Mengulas lebih lanjut BNM berkata, aset berkenaan termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain antaranya SDR (RM18.96 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.52 bilion), deposit institusi kewangan (RM3.95 bilion).

Juga meliputi pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM7.31 bilion, tanah dan bangunan (RM4.18 bilion) serta aset-aset lain (RM9.61 bilion). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...