Riza Aziz Dilepas Tanpa Dibebaskan

ANAK tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Hari ini sepatutnya dijadualkan bagi pengurusan kes terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pendakwaan, membacakan kenyataan kepada mahkamah, bahawa sejak tertuduh didakwa, beliau sudah beberapa kali mengemukakan permohonan representasi.

Sri Ram berkata, selepas representasi itu diteliti dan dipertimbangkan, beberapa keputusan berjaya dicapai.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Katanya, melalui terma yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

“Jumlah wang terbabit adalah merujuk kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini… tertuduh sepanjang proses ini menerima perwakilan perundangan yang kompeten dan mencukupi.

“Kesan daripada persetujuan itu, pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh tidak akan diteruskan sementara menunggu terma persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan melalui keizinan tertuduh dengan ini memohon perintah daripada mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh,” katanya.

Sri Ram berkata, jika berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, tindakan akan diambil supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Katanya, bagaimanapun jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh.

Selepas membacakan kenyataan itu, Azman kemudian melepas dan membebaskan tertuduh dan mengarahkan wang jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dikembalikan.

Pada 5 Julai tahun lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun, 2012 dan 23 Oktober, 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – myMetro Online

Loading...