Ringgit Terus Menyusut Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka sedikit rendah hari ini, menerus aliran menurun berikutan pelabur sedang menunggu pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama pada Khamis.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan dibuka pada paras 4.1595/1625 berbanding dolar AS daripada 4.1570/1600.

Seorang peniaga berkata, selepas pengumuman kadar dasar semalaman minggu lepas dan indeks pengeluaran perindustrian bulanan (IPI), peniaga kini menunggu data KDNK bagi suku pertama sebelum melabur.

RHB Bank dalam penyelidikan ekonominya berkata, data dicatatkan IPI Mac pada 3.1 peratus daripada 1.7 peratus pada Februari yang lebih tinggi daripada jangkaan adalah disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor perkilangan dan elektrik.

“Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK akan merosot kepada 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2019 berbanding 4.7 peratus daripada suku keempat 2018 ekoran kelembapan ekonomi serta ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS)-China,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran masih dipengaruhi ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dan sebarang kemelut yang timbul semasa rundingan itu berjalan akan memberi kesan ketara terhadap pasaran.

“Pasaran menjangkakan pengumuman tarif itu hanya bersifat sementara dan pelabur kekal yakin bahawa kenaikan itu sekadar untuk tempoh singkat dan akan disusuli dengan Trump-Xi mencapai persetujuan,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding kebayakkan mata wang asing utama lain.

Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0486/0510 daripada 3.0503/0534 pada Jumaat, dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4107/4150 daripada 5.4091/4147.

Mata wang tempatan menyusut berbanding yen kepada 3.7910/7948 daripada 3.7843/7880, dan turun berbanding euro kepada 4.6711/6762 kepada 4.6683/6733 pada Jumaat.

Loading...