Ringgit Diunjur RM4.20 Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Ringgit menghampiri kerugian bagi empat minggu berturut-turut susulan penurunan harga dalam minyak mentah yang memburukkan unjuran kewangan Malaysia.

Petang semalam, ringgit ditutup pada paras RM4.1900 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit memulakan dagangan pagi pada RM4.1905 berbanding dolar AS daripada RM4.1910 ketika ditutup semalam.

Menurut Pengurus Besar Pendapatan Tetap dan Kajian Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng, ringgit berada di bawah tekanan sejak akhir Mac apabila dolar AS semakin mengukuh sekali gus menyebabkan peningkatan aliran keluar pasaran ekuiti tempatan.

“Paras utama ringgit dijangka pada RM4.20 berbanding dolar AS dan ia dijangka kekal lemah dalam masa terdekat susulan risiko perdagangan dan geopolitik,” katanya dalam nota kajian di sini.

Ringgit hari ini dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran terhadap unit tempatan yang meningkat susulan kenaikan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0422/0448 daripada 3.0370/0417 pada Jumaat dan merosot berbanding euro kepada 4.6865/6903 daripada 4.6850/6899.

Ia juga merosot berbanding yen Jepun kepada 3.8247/8282 daripada 3.8203/8250 dan susut berbanding pound British kepada 5.3159/3218 daripada 5.3052/3107 semalam.

Peniaga berkata, harga minyak stabil pada Jumaat dengan pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ketegangan yang meningkat di Asia Barat selepas diniagakan rendah pada minggu ini berikutan inventori yang tinggi dan ekonomi global yang lembap.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.58 peratus kepada AS$68.15 (RM285.65) setong manakala niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) naik 0.73 peratus kepada AS$58.33 (RM244.49) setong.

Sementara itu, Ahli Strategi Morgan Stanley, Hans Redeker dalam nota kajiannya berkata, ringgit, dolar Taiwan, dolar Singapura dan won Korea merupakan antara mata wang yang sensitif terhadap pergerakan yuan China sejak permulaan ketegangan perdagangan tahun lalu.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, ringgit dijangka dipengaruhi oleh faktor luaran pada minggu depan dengan jangkaan ia berada pada kadar RM4.20 sehingga RM4.24 berbanding dolar AS.

Katanya, peningkatan ketegangan perdagangan antara AS dan China juga kekal sebagai pemacu sentimen global, meninggalkan pelabur dengan sedikit pilihan sementara menunggu perkembangan selanjutnya daripada konflik berkenaan.

Loading...