Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini ekoran kekurangan minat belian baharu, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9 pagi, ringgit berada pada 4.1480/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1500 yang dicatatkan sewaktu ditutup pada Selasa.

Ini merupakan prestasi paling lemah ringgit sejak 3 Januari 2019 apabila ia ditutup pada paras 4.1460/1500 berbanding dolar AS.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan menyifatkan ketiadaan reaksi ketara terhadap langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman semalam sememangnya dijangkakan kerana bank pusat itu telah membayangkan pada Mac lepas bahawa ia akan mengambil tindakan awal bagi mewujudkan penampan dan aspek dasar.

“Kadar yang diturunkan itu dijangka memastikan permintaan dalam negara dapat terus memacu momentum pertumbuhan ekonomi berikutan keadaan Malaysia yang perlu menepis risiko penurunan ketara dan ketidakpastian global seperti yang dinyatakan dalam kenyataan terbaharu dasar monetari BNM,” katanya.

BNM mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus dan bank pusat itu berkata pelarasan OPR itu bagi melindungi tahap akomodatif monetari.

“Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang mantap di tengah-tengah kestabilan harga,” kata BNM.

Kali terakhir BNM membuat perubahan kadar OPR pada 25 Januari 2018 apabila menaikkan 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Mengulas selanjutnya, Tan berkata, FXTM menjangkakan faktor luaran akan terus menjadi penentu prestasi ringgit pada masa akan datang.

Sementara itu, secara keseluruhannya, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama dunia kecuali yen Jepun yang menyaksikan ringgit susut kepada 3.7654/7692 berbanding 3.7506 / 7540 pada Selasa.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0437/0471 daripada 3.0446/0472, meningkat berbanding euro kepada 4.6433/6479 daripada 4.6455/6505 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4231/4274 daripada 5.4288/4340.

Loading...