Rina Seru Badan Korporat Bantu Sekolah, Pelajar

KUALA LUMPUR – Badan korporat dan syarikat swasta diseru bersama-sama menaja sekolah dan pelajar yang memerlukan bantuan dalam memastikan proses pembelajaran di negara ini berjalan lancar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, usaha tersebut dapat membantu kerajaan dalam meringankan beban rakyat disamping meningkatkan taraf pendidikan.

“Justeru itu, pihak kerajaan amat mengalu-alukan dan akan sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan pihak korporat dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan Kumpulan UEM kepada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) hari ini merupakan contoh terbaik yang boleh diikuti badan korporat dan syarikat swasta dalam membantu sekolah dan pelajar,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan kepada SBJK di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, pihak UEM telah menyumbangkan sebanyak RM40,000 bagi membantupihak SBJK menampung kos operasi kelas Feqah, Tauhid dan Al-Quran dari bulan Ogos hinga Oktober 2018 serta pembelian 100 naskah Al-Quran bertajwid.

Pihak UEM juga menaja 157 pelajar sekolah tersebut dengan kelengkapan ​​​​​​​solat, set penjagaan diri, pakaian dan beg sekolah.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UEM, Aishah Nor berkata bantuan dan tajaan tersebut merupakan inisiatif segmen pendidikan yang dilaksanakan di bawah program tanggung jawab sosial korporat kumpulan.

“Kami difahamkan sekolah ini memerlukan bantuan, terutamanya bagi kelas agama dan kelengkapan solat pelajar. Justeru melalui program ini kami menyasarkan untuk meringankan beban kewangan mereka, sekaligus memastikan mereka dapat belajar dan menjalankan kewajiban dengan sebaiknya.

“Keceriaan dan senyuman pada wajah para pelajar hari ini begitu memberi kepuasan kepada kami. ,” katanya.

Turut hadir, Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pelajar Qari dan Qariah Malaysia (PERQAM), Khairul Fazli Muhammad Som. – BERNAMA

Loading...