Ridzwan: Pisau Kehormat Lambang Keberanian

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

TIDAK ramai yang mengenali lelaki ini termasuk mereka yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kecuali kakitangan bahagian penyelidikan. Bagi yang biasa melihatnya pula, mereka lebih mesra memanggilnya sebagai Encik Ridzwan dan bukannya `Tuan’ apabila bertembung.

Dengan jawatannya sebagai Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penyelidikan JPM, memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang keliru tentang identiti sebenarnya lebih-lebih lagi beliau tidak pernah memakai pakaian tentera ke pejabat.

“Kerana itu ramai yang tidak percaya saya seorang pegawai tentera. Mereka juga tidak tahu pengalaman saya dalam tentera,’’ kata Mejar Ridzwan Mohd. Yusof, 43, memulakan ceritanya kepada penulis.

Padahal bekas pelajar Sekolah Menengah Raja Muda Musa, Kuala Kangsar, Perak ini mempunyai banyak pengalaman menarik sepanjang berkhidmat dalam tentera darat sejak 23 tahun lalu.

Malah beliau merupakan salah seorang penerima Pisau Kehormat Angkatan Tentera (Pikat), satu lambang keberanian yang jarang diterima oleh pegawai atau anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Namun di atas keberanian yang ditunjukkannya dalam satu operasi khas di Ladang Sungai Gapis, Serendah Selangor 16 tahun lalu, beliau telah dianugerahkan pisau itu.

Ridzwan masih ingat, tanggal 6 Jun 1987, beliau yang ketika itu berpangkat Leftenan Muda bersama sembilan anggotanya dari 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT) Kem Changkat, Batu Gajah Perak telah digerakkan ke Balai Polis Rawang untuk melaksanakan satu operasi khas.

Operasi itu ialah selepas kejayaan polis Cawangan Khas menangkap dua orang wanita yang disyaki pengganas komunis pada kira-kira pukul 12 tengah hari di Klinik Darham, Rawang semasa salah seorang daripada mereka mahu menggugurkan kandungan.

Hasil soal siasat yang dijalankan, polis mendapat maklumat bahawa terdapat lagi dua orang musuh yang sedang menanti kepulangan kedua-dua wanita itu di satu kawasan ladang getah di Sungai Gapis.

Mereka dipercayai dari Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Cheong Chor.

Kelibat Musuh

Selepas diberikan taklimat, pasukan Ridzwan dengan dibantu dua ekor anjing pengesan dan penjaga, seorang anggota Cawangan Khas serta seorang ejen khas kerajaan yang merupakan bekas pengganas komunis telah diarah menjejak musuh terbabit.

“Kami sampai di ladang itu pada pukul 3.30 petang dengan memakai pakaian awam.

“Semua senjata kami simpan dalam beg guni untuk mengelakkan kehadiran kami diketahui oleh penduduk setempat,’’ katanya.

Selepas turun dari kenderaan, Ridzwan mengarahkan semua anggotanya bersembunyi di satu kawasan paya yang terletak tidak jauh dari tepi jalan.

“Apabila semua telah bersedia, barulah kami bergerak menuju ke satu kawasan tanaman getah melalui satu denai di paya berkenaan.

“Baru bergerak kira-kira 800 meter, anggota hadapan saya telah ternampak kelibat empat lelaki di atas sebuah bukit berhampiran sebuah rumah Orang Asli di situ.

Sebelum mayat musuh dibawa keluar pada malam itu saya mengambil secubit otak musuh untuk dimakan bagi mengelakkan terkena badi mayat. Aziz pula mencalit sedikit darah musuh pada lidahnya tetapi saya tak lalu berbuat macam itu.

“Melihat pakaian dan peralatan yang dibawa kami syak mereka adalah musuh yang dicari,’’ katanya.

Untuk memastikan musuh tidak terlepas, Ridzwan lalu mengatur satu serangan dari bawah bukit ke atas musuh yang berada kira-kira 300 meter di hadapan mereka.

“Malangnya apabila kami telah berada kira-kira 30 meter dari rumah tersebut, dua daripada lelaki terbabit tiba-tiba hilang. Kami syak mereka telah menghidu kehadiran kami,’’ ujar beliau.

Melihat keadaan itu, mereka segera menyerbu ke halaman rumah tersebut dan mendapati hanya tinggal seorang lelaki Orang Asli bersama anak lelakinya.

Ridzwan kemudiannya bertanya kepada mereka tentang kedua-dua lelaki berkenaan, namun mereka tidak mahu memberi kerjasama.

Selepas didesak akhirnya mereka mengaku bahawa ada dua lelaki Cina yang bersembang dengan mereka tetapi telah lari ke arah hutan.

“Dia juga kata kedua-dua lelaki itu ada senjata dan ini menambahkan lagi keyakinan kami bahawa mereka itu adalah pengganas,’’ katanya.

Walaupun begitu, Ridzwan tidak terus mengarahkan anggotanya mengejar musuh, sebaliknya bertindak menyerbu ke atas rumah Orang Asli itu untuk memastikan dia tidak berbohong.

Selepas berpuas hati tiada sesiapa di situ, barulah penjejakan dilakukan dengan bantuan anjing pengesan.

“Semasa penjejakan itu, kami menjumpai satu kawasan pokok getah yang aneh kerana ia agak bersih serta terdapat banyak simbol pengganas di pokok seperti anak panah dan daun yang dipatahkan.

“Kami percaya itu merupakan kawasan pertemuan musuh dan ia turut dipersetujui oleh bekas pengganas yang ikut kami,’’ katanya.

Mereka turut yakin musuh tadi masih berada sekitar situ. Bagaimana pun, mereka tidak boleh melakukan penggeledahan memandangkan hari sudah hampir gelap.

“Ini dia punya rumah. Jika kita bertindak juga takut nanti berlaku kemalangan jiwa pada pihak kita,’’ nasihat ejen khas kepada Ridzwan.

Sebaik ejen khas itu memberi pandangan, beliau berbincang pula dengan anggota terup yang sebahagian besar merupakan anggota komando Rejimen Gerak Khas sebelum diserapkan ke RKPT.

Mereka kemudiannya bersetuju untuk bergerak ke sebatang jalan raya yang jaraknya kira-kira 1.5 kilometer.

Menukar Fikiran

Semasa melalui satu denai di belakang bukit dari tempat serangan awal yang gagal sebelum itu, Ridzwan menukar fikirannya secara mengejut sambil mengarahkan semua anggotanya naik semula ke atas bukit berkenaan.

“Kita buat serang hendap di sini malam ini,’’ tegas Ridzwan.

Kesemua anggotanya akur dengan arahan tersebut. Tepat pukul 7 malam, beliau mengarahkan semua anggota mengambil kedudukan masing-masing.

Sementara menunggu kemunculan kelibat musuh, Ridzwan berbincang dengan Sarjan Rahmat tentang strategi seterusnya seandainya musuh tidak muncul pada malam itu.

“Tengah asyik berbincang, kira-kira pukul 7.30 malam tiba-tiba saya mendapat isyarat daripada Koperal Aziz Shafie.”

Musuh!!! Jerit Aziz dengan nada suara terkawal sambil menunjukkan tempat di mana musuh berada selepas seorang anggota terdengar bunyi ranting patah dipijak orang.

Mendengar sahaja tentang itu, Ridzwan terus mengeluarkan gogal penglihatan malam yang dibawanya dan ternampak bayangan dua manusia yang sedang berjalan sambil membawa senjata api.

Beliau kemudiannya berlari ke arah Aziz untuk melihat bayangan yang disyaki musuh itu dengan lebih dekat.

Apabila musuh semakin hampir, Ridzwan dalam keadaan berdebar-debar mengarahkan Aziz menumpukan perhatian pada musuh yang berjalan di depan manakala beliau pada musuh di belakang.

Tiba-tiba Aziz dengan berani mencabar lembaga tersebut sebanyak dua kali dengan kata jodoh `kaki bangku’ untuk mengetahui mereka musuh atau bukan.

Tetapi tiada jawapan balas dari kedua-dua lelaki itu dan sebaliknya mereka cuba melarikan diri.

Disebabkan itu, dengan bantuan dua buah gogal yang dibawa, Ridzwan dan Aziz terus melepaskan tembakan terhadap musuh.

Tidak cukup dengan senjata M-16, mereka gunakan juga senjata Pump Gun secara bergilir-gilir.

“Pertempuran berlaku selama 20 minit. Selepas itu kami tidak kedengaran tembakan balas dari musuh.

“Tetapi kami tidak pasti sama ada musuh telah mati atau tidak walaupun melalui gogal kami nampak mereka seperti tidak bergerak lagi di celah pokok getah,’’ ujarnya.

Untuk mendapatkan kepastian Ridzwan dan Aziz melontar empat butir bom tangan untuk memastikan musuh benar-benar telah mati, namun selepas itu masih kedengaran bunyi suara musuh mengerang kesakitan sehingga pukul 11.30 malam.

Pada pukul 12 malam pasukan bantuan tiba dan selepas itu barulah mereka membuat penggeledahan.

“Dari penggeledahan kami dapati kedua-dua lelaki itu telah mati. Turut ditemui ialah dua laras Carbine, dua butir bom tangan, 1,800 butir peluru serta beberapa dokumen dalam tulisan Cina,’’ ujar beliau.

“Sebelum mayat musuh dibawa keluar pada malam itu saya mengambil secubit otak musuh untuk dimakan bagi mengelakkan terkena badi mayat.

“Aziz pula mencalit sedikit darah musuh pada lidahnya tetapi saya tak lalu berbuat macam itu,’’ katanya sambil memberitahu salah seorang yang dibunuh merupakan Ahli Jawatankuasa Daerah PKM.

Ekoran kejayaan itu, pada 16 September 1987, Ridzwan dan Aziz telah dianugerahkan Pikat oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Ghazali Che Mat sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-54. Dua tahun kemudian, Ridzwan dianugerahkan pula Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).

Walaupun begitu, beliau tidak mungkin dapat melupakan trauma yang dialami oleh mereka berdua selepas pertempuran tersebut.

“Selama hampir setahun saya asyik merasakan sentiasa diekori oleh musuh walau ke mana sahaja manakala Aziz selalu terkejut apabila terdengar bunyi ranting patah ketika dalam hutan.

“Adakalanya tingkah laku Aziz mencemaskan kami,’’ katanya yang kadang kala merasa lucu mengenangkan semula gelagat mereka ketika itu. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.