Restoran Tak Dibenarkan Sedia Kawasan Khas Merokok

BATU GAJAH – Kedai makan atau restoran tidak dibenarkan sama sekali menyediakan ruangan khas merokok kepada pelanggan di premis mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, berkata jika pemilik restoran mahu menyediakan ruang khas merokok ia mestilah di luar lingkungan tiga meter dari premis mereka.

Katanya, tindakan tegas terhadap mana-mana restoran atau premis makanan akan diambil sekiranya mereka masih menyediakan ruang khas merokok alam lingkungan jarak yang tidak dibenarkan kementerian.

“Jika pemilik restoran masih mahu menyediakan ruangan khas di luar kawasan lingkungan tiga meter, ia bukanlah di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan sebaliknya di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kempen Kesihatan dan Derma Darah di Pusat Khidmat Parlimen Batu Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Mulai 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan menguat kuasakan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran di atas kapal dan kereta api di seluruh negara.

Bagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Dr. Lee berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan berkaitan ruang khas merokok, sebaliknya hanya membincangkan bersama KPKT berkaitan cadangan menyediakan satu ruang khas supaya orang ramai boleh membuang puntung rokok.

“Bagaimanapun terpulang kepada KPKT dan PBT untuk membuat keputusan melaksanakan saranan itu.

“Sebelum ini, Menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) telah mengarahkan supaya kemudahan itu (kawasan khas membuang puntung rokok) dapat disediakan,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes kanser sebagaimana didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Dr. Lee berkata kesedaran dalam mendapatkan saringan awal penting dalam menangani kanser daripada terus meningkat.

“Satu aspek dari segi saringan awal, supaya kita boleh mengesan kanser di peringkat awal, apa yang kita boleh lakukan adalag membuat pemeriksaan mamogram dan pap smear untuk wanita.

“Kita juga buat saringan untuk mereka memeriksa najis sekiranya ada darah atau tidak sebab kanser koloraktor adalah antara kanser yang paling utama berlaku,” katanya. – BH Online

Loading...