Remy Ishak Dedah Sudah Putus Tunang

PELAKON Remy Ishak mendedahkan dia dan tunangnya, Ezza Yusof sudah memutuskan tali pertunangan sejak sebulan lalu.

Tidak mahu terlalu memperincikan perihal tersebut, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak bagaimanapun mengatakan mereka masih mempunyai hubungan baik.

“Berat untuk saya beritahu perkara ini. Hubungan yang serius sudah putus namun kami masih berkawan baik.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kalau ada jodoh dan rezeki untuk bersama pada masa hadapan dengan dia, itu semua Tuhan yang tentukan,” ujar Remy, 36, ketika ditemui pada acara pengumuman kolaborasinya dengan jenama minuman tempatan, Origina.

Kata pelakon yang cukup dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, dia membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan kira-kira sebulan lepas.

“Tentang urusan pulang cincin pertunangan terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Biar keluarga saya dan dia uruskan perkara itu.

“Boleh juga cakap sekarang ini saya sedang mengambil masa untuk proses bertenang.

“Saya mengambil tanggungjawab kesilapan datang daripada saya. Saya yang belum bersedia untuk ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan,” ujarnya.

Ditanya sama ada punca putus tunang disebabkan orang ketiga, Remy menafikan perkara tersebut.

“Bukan sebab orang ketiga sama ada daripada pihak saya atau dia. Ezza seorang yang baik dan dia berhak mendapat lelaki yang sesuai dengan dirinya,” ulas Remy lagi.

Sebelum ini, Remy menerusi satu video Live Instagram baru-baru ini mengaku dirinya sudah kembali solo dan tiada siapa yang inginkan dirinya.

Remy dan Ezza mengikat tali pertunangan pada Mei 2017. Difahamkan, majlis berlangsung di kediaman Ezza yang terletak di Pahang membabitkan keluarga kedua belah pihak.

Loading...