Remaja Dituduh Bunuh Nazrin Dakwa Dibohongi Pegawai Penyiasat

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi diberitahu salah seorang daripada dua remaja yang dituduh membunuh ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan ada membuat laporan polis mendakwa dia dibohongi pegawai penyiasat sewaktu keterangannya diambil.

Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah berkata, tertuduh berusia 14 tahun itu membuat laporan itu pada 22 Sept tahun lepas, mengatakan kejadian itu berlaku semasa dia ditahan reman.

Shafee membacakan laporan itu yang dibuat bagi memperbetulkan kenyataan yang diambil semasa dia ditahan reman selama 7 hari pada 5 hingga 12 September tahun lalu.

“Sewaktu direman, saya disoal siasat oleh banyak pegawai penyiasat, antara 3 hingga 5 anggota polis di dalam bilik. Saya diberitahu untuk memberikan kerjasama dan jika berbuat demikian saya akan dibebaskan dengan lebih awal.

“Pegawai penyiasat (IO) Nizam berkata, jika semuanya berjalan lancar polis akan menyediakan jaminan untuk saya pulang semula ke rumah. Selepas dibebaskan dari reman, saya menyedari bahawa polis berkenaan berbohong kepada saya.

“Saya tidak tahu bahawa polis boleh berbohong kepada kanak-kanak,” kata Shafee membacakan laporan polis remaja berkenaan di hadapan hakim Ab Karim Ab Rahman hari ini.

Tertuduh merupakan anak kepada seorang lagi tertuduh, Samirah Muzaffar, isteri kepada Nazrin. Mereka dan seorang lagi remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018 di kediaman mereka di Mutiara Damansara. Seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu, masih bebas.

Laporan itu seterusnya mendakwa pegawai penyiasat semasa soal siasat berbohong mengenai ibunya dan meyakinkannya untuk mengaku dia melakukan sesuatu.

“Ia seperti dia (ibu) keluar rumah pada 6 pagi untuk membeli minyak petrol, bahawa ibu saya tidak mengambil berat terhadap diri saya dan pelbagai perkara lagi termasuk kejadian rompakan pada 2015 di rumah lama di Mutiara Damansara.

“Polis berbohong dan menyakinkan saya untuk mengaku bahawa saya memotong baju lama kemeja-t ‘Hard Rock’ milik ayah tiri, yang mana saya tidak melakukannya namun terpaksa mengaku kerana ada orang lain melihat saya bertindak sedemikian,” katanya.

Remaja itu memaklumkan dia dinasihati peguam untuk membuat pembetulan dan menjelaskan perkara sebenar. Remaja itu juga bimbang kenyataannya akan digunakan untuk perkara tidak benar.

Shafee, sewaktu menyoal balas seorang pegawai polis, Anestassia Chin Fat yang tampil sebagai saksi pendakwaan, mempersoalkan cara beliau mengambil keterangan anak guamnya.

Menurut Shafee, jika ada keterangan yang perlu diambil membabitkan kanak-kanak, adalah lebih baik dia ditemani oleh individu yang lebih dewasa, seperti bapa dan saudara-mara terdekat.

Shafee: Puan setuju budak-budak harus dilindungi polis dengan lebih cermat. Ada atau tidak puan beritahu budak ini bahawa dia boleh ditemani pihak lain sebelum beliau memberikan kenyataan. Ia adalah satu perkara yang digalakkan sebab usianya begitu muda.

Anestassia: Saya tidak pasti.

Anestassia turut memaklumkan kepada mahkamah dia tidak tahu tentang kewujudan laporan remaja itu terhadap pegawai penyiasat.

Anestassia, sewaktu diminta Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid menjelaskan kenapa tidak melibatkan individu dewasa sewaktu mengambil keterangan remaja berkenaan, berkata remaja itu tidak menunjukkan tanda-tanda berada dalam keadaan tertekan.

“Dia tidak berada dalam keadaan tertekan. Pada saya kalau kanak-kanak yang boleh berikan keterangan yang konsisten, pada saya kehadiran ibu bapa juga adalah tidak perlu,” katanya. – FMT

Loading...