Remaja Didakwa Sebar Video Serangan Masjid Al Noor

CHRISTCHURCH – Seorang remaja berusia 18 tahun dihadapkan ke sebuah mahkamah New Zealand hari ini atas dakwaan menyebarkan video penstriman tembakan rambang di Masjid Al Noor, Jumaat lalu.

Dia juga dituduh menyiarkan sekeping gambar masjid itu dengan mesej “sasaran diperolehi” dan mengapi-apikan keganasan.

Pendakwa raya berkata, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun bagi setiap pertuduhan.

Hakim tidak membenarkan remaja itu diikat jamin dan perbicaraan ditetapkan 8 April ini.

Kes itu menyusul seorang warga Australia, Brenton Tarrant, 28, yang didakwa melepaskan tembakan di Masjid Al Noor dan Linwood di sini, Jumaat lalu yang meragut 50 nyawa dan berpuluh lagi cedera.

Penyiasat dilaporkan berkata, setakat ini, remaja itu dipercayai tidak terbabit secara langsung dalam serangan itu.

Hakim Mahkamah Daerah, Stephen O’Driscoll menghalang media menyiarkan nama remaja terbabit dan butiran pendakwaan kes itu. – Agensi