Remaja Dapat Wang Derma Selepas Rempuh 4 Ferrari

SEORANG lelaki bernasib baik apabila orang ramai sudi menghulurkan bantuan kepadanya untuk membayar wang membaiki empat buah kereta Ferrari yang dilanggarnya.

Lin Chin-hsiang warga Taiwan bekerja sepanjang malam melakukan penghantaran untuk syarikat keluarganya semasa dia terlelap dalam van yang dipandunya lalu melanggar empat kereta mewah tersebut.

Remaja berusia 20 tahun itu terpaksa menanggung kos baik pulih kenderaan mewah itu mencecah 309,000 pound sterling kerana polisi insurans kenderaan keluarganya hanya melindungi kecederaan bukannya kerosakan.

Dengan pendapatan bulan sekitar 35,000 dolar Taiwan (900 pound sterling), ini bermakna Lin terpaksa membayar kos kerosakan tersebut selama 28 tahun.

Namun kisah yang dilalui Lin mendapat simpati orang ramai.

Kereta Ferrari putih mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan itu.

Ada diantara mereka yang menghubungi balai polis atau datang ke kedai keluarga Lin untuk menghulurkan bantuan.

Agensi berita TVBS melaporkan seorang warga Australia yang sedang mengikuti program pertukaran pelajar di negara itu pergi ke kedai keluarga Lin dan menderma sebanyak 2,275 dolar Taiwan.

Ketika ditanya mengapa dia mendermakan wang sebanyak itu, pelajar tersebut berkata, “Saya muda sepertinya ketika ini dan saya mempunyai wang, jadi saya mahu membantunya.”

BBC melaporkan lebih 100 derma berjaya dikutip termasuk sumbangan lebih 33,700 dolar Taiwan.

Polis berkata Lin tidak memandu dibawah pengaruh alkohol dan mempunyai rekod memandu bersih. – abc.net/mStar Online

Loading...