Remaja, 2 Rakan Disyaki Tanam Janin Di Sawah

MELAKA – Seorang remaja dan dua rakannya direman selama empat hari bermula hari ini selepas dipercayai cuba menyembunyikan kelahiran dengan menanam janin milik teman wanitanya di kawasan sawah dekat Batang Tiga, Bukit Rambai di sini semalam.

Perintah reman sehingga 17 Januari itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Syarina Shaarani terhadap ketiga-tiga suspek masing-masing berumur 19, 24, dan 23 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek telah ditahan pada hari sama selepas saksi di tempat kejadian mengecam salah satu nombor pendaftaran motosikal dinaiki mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, saksi tersebut telah terserempak dengan suspek yang beredar dari tempat kejadian sebelum dia menemui kesan tanah digali.

“Saksi yang curiga kemudian telah menggali semula tanah tersebut dan menjumpai janin dibungkus di dalam kain putih dengan kedalaman satu meter.

“Hasil maklumat dari saksi, polis telah membuat tangkapan dan soal siasat mendapati janin tersebut dipercayai milik teman wanita kepada salah seorang suspek yang berumur 20 tahun.

“Wanita itu kini sedang diperiksa Jabatan Obstetrik & Ginekologi di Bahagian Kecemasan Hospital Melaka untuk pengesahan kelahiran dan mengakui telah menyerahkan janin berkenaan kepada teman lelakinya berusia 19 tahun untuk ditanam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, polis turut merampas motosikal suspek yang dipercayai digunakan ketika kejadian. – K! ONLINE

Loading...