Rekod Terpantas Pasang Kiswah Baharu Kaabah

MAKKAH – Seramai 160 petugas dan juruteknik berjaya menyempurnakan proses penggantian kelambu Kaabah atau Kiswah di Masjidil Haram dalam tempoh…

MAKKAH – Seramai 160 petugas dan juruteknik berjaya menyempurnakan proses penggantian kelambu Kaabah atau Kiswah di Masjidil Haram dalam tempoh hanya tiga jam.

Lapor agensi berita rasmi tempatan SPA dipetik portal berita Arab News, pasukan itu mencatat rekod baharu apabila menyelesaikan tugas tersebut 30 minit lebih awal dari waktu yang ditetapkan.

Kiswah baharu yang diperbuat daripada 670 kilogram sutera, 120 kilogram emas, dan 100 kilogram perak itu diangkut sebelum solat fardu Maghrib ke Masjidil Haram di sini kelmarin.

Keseluruhan berat Kiswah adalah 1,150 kg yang dihasilkan menggunakan 23 mesin jahit moden. Kaabah yang terletak di tengah Masjidil Haram di Makkah itu adalah kiblat atau arah semua umat Islam ketika solat.

Kiswah yang dihasilkan daripada kain sutera hitam bersulam benang emas dan perak itu berukuran 14 meter tinggi dan 47 meter panjang.

Ia terdiri daripada lima lapisan kain, termasuk tirai yang menutup pintu Kaabah, yang dijahit serta disulam kainnya, yang memakan masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan.

Ia lazimnya ditukar setahun sekali ketika Masjidil Haram agak kurang sibuk apabila jutaan umat Islam dari seluruh dunia berada di Arafah untuk menunaikan wukuf ibadah haji. -Agensi/Mynewshub.TV

Loading...