Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Polis Temui Pistol Dalam...

Pastinya, setiap individu yang ditahan akan diperiksa sebelum dimasukkan ke dalam sel, namun...

Usik Kecacatan Caliph Buskers...

DEK kerana keterlanjuran ketika bergurau, pelawak Nabil Ahmad meluahkan rasa kesalnya kerana tidak...

Dos Penggalak Mungkin Tidak...

GENEVA : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa bahawa vaksin COVID-19 semasa...

Sebutan Semula Kes SUV...

BUKIT MERTAJAM - Kes seorang bekas pekerja salon yang dituduh menyebabkan kematian seorang...

Rehat Kena Secukupnya Untuk Elak Mikrotidur

SEWAKTU memandu, segelintir individu akan mengalami situasi berasa letih dan mengantuk sekali gus membahayakan pemanduan mereka terutama sekiranya memandu bagi satu jarak yang jauh.

Ada juga situasi di mana seseorang itu terlelap atau nama saintifiknya mikrotidur untuk beberapa saat ketika memandu kerana terlalu letih akibat tidur yang tidak mencukupi.

Memetik laporan BH Online, mikrotidur merupakan satu gejala yang boleh membahayakan keselamatan seseorang itu serta orang disekelilingnya dan boleh mengganggu aktiviti harian mereka.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Cancelor Tuanku Mukriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Azlin Baharudin, gejala tersebut hanya boleh diatasi dengan rehat dan tidur.

Ujar beliau, gejala itu biasanya berlaku antara sesaat hingga dua minit, tetapi pada kebiasaannya berlaku dalam tempoh 10 saat.

“Sewaktu proses mikrotidur berlaku, secara am otak dipaksa untuk tidur. Situasi itu, menyebabkan bahagian otak thalamus (bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengatur tidur), mengalami penurunan aktiviti.

“Tetapi bahagian otak yang lain, seperti untuk sensory focusing masih aktif, dan keadaan itu menyebabkan berlaku mikrotidur,” katanya kepada akhbar tersebut.

Jelas Dr. Azlin yang merupakan Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan UKM, gejala ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi lebih cenderung berlaku kepada penghidap masalah tidur seperti ‘insomnia’ dan ‘sleep apnoea’.

Malah, ia juga boleh berlaku kepada individu yang berada dalam keadaan badan terlalu letih, pekerja shif dan pemandu kenderaan.

Bagaimanapun, Dr. Azlin berkata, insiden mikro tidur ini boleh dielakkan. Justeru, beliau menyarankan kepada mereka yang akan memandu jauh pada musim perayaan untuk mendapatkan tidur secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

“Tubuh kita tahu bila waktu kita kurang memberikan tumpuan. Contohnya elakkan memandu waktu malam yang mana, kebiasaannya kita tidur pada waktu berkenaan.

“Jangan melawan badan. Kita semua ada biological clock yang mana kita akan tidur pada waktu kebiasaan kita tidur,” ujarnya.

Namun begitu, sekiranya keadaan dan waktu membuatkan seseorang itu terpakssa memandu pada waktu malam, seseorang individu itu perlu mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

Antara yang boleh dilakukan ialah kerap berhenti untuk berehat, elakkan memandu sendirian dengan mendapatkan teman berbual sewaktu memandu, atau mendengar muzik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa, berkata jumlah kenderaan dijangka bertambah hingga dua juta pada musim perayaan ini.

Jelasnya, pertambahan itu menyebabkan pemanduan menjadi lebih perlahan serta perjalanan boleh memakan masa lebih lama.


“Situasi berkenaan menyebabkan pemandu penat dan mudah mengantuk, sekali gus mendorong kepada mikrotidur.

“Mikrotidur yang hanya boleh berlaku antara dua hingga tiga saat, sangat berbahaya kerana ia boleh membawa kenderaan sejauh antara 15 hingga 20 meter,” jelasnya lagi.

Rosli berkata, mikrotidur boleh berlaku kepada semua pemandu, termasuk penunggang motosikal dan biasanya terjadi sewaktu pemandu melalui jalan lurus.

Memetik kajian dari United Kingdom, ia sering berlaku kepada pemandu trak dengan kekerapan 20 peratus terbabit dalam kemalangan berpunca daripada keletihan, kepenatan dan kurang tidur.

Malah, dianggarkan bahawa satu daripada tiga kes yang direkodkan dalam kalangan pemandu trak berpunca daripada mikrotidur.

Statistik kemalangan maut di negara ini pula, mencatatkan sebanyak 7,152 pada 2016 dan 6,740 pada 2017 dan dianggarkan lapan peratus berpunca daripada mikrotidur.

Rosli berkata, tiga waktu biasa berlaku kemalangan atau mikrotidur terjadi ialah waktu tengah hari antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang, waktu peralihan siang ke malam, sekitar jam 7 hingga 8 malam dan antara jam 5 pagi hingga 6 pagi.

“JKJR sentiasa mengingatkan mengenai tips dan panduan keselamatan jalan raya termasuk pada musim perayaan ini.

“Kalau mengantuk, saya sarankan individu berhenti, rehat dan tidur sebentar antara 15 minit hingga 30 minit di tempat selamat.

“Rancang perjalanan, kerana ia membantu pemandu lebih fokus di jalan raya, dan mengelakkan daripada tertekan dengan situasi pemanduan pada musim perayaan ini,” katanya.

Mikrotidur :

Definisi :
* Tertidur secara tidak disedari.
* Boleh berlaku antara sesaat hingga dua minit.

Gejala:
* Mengantuk.
* Asyik menguap.
* Tidak fokus.
* Fikiran melayang.

– MYNEWSHUB.CC

Kategori