Redzuan Kecewa Proses Birokrasi Halang Pandu Uji Kereta Terbang

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof melahirkan rasa kecewa dengan proses birokrasi yang merosakkan rancangannya untuk memandu uji kereta terbang.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), beliau berkata, amat mengecewakan apabila pembangunan ‘ekosistem untuk inovasi dan keusahawanan’ dihalang oleh birokrasi.

“Saya faham terdapat keperluan untuk peraturan dan kita ialah kerajaan yang mematuhi peraturan undang-undang.

“Kebimbangan saya adalah peraturan dan proses birokrasi kita tidak cukup berkembang pesat untuk memenuhi keperluan industri dan inovasi serta kemajuan teknologi. Ini adalah sesuatu yang perlu kita lihat,” katanya.

Redzuan turut menggesa pembaharuan proses birokrasi dan rangka kerja kawal selia untuk membolehkan pembangunan ekosistem yang menggalakkan inovasi dan keusahawanan.

Beliau berkata, pembaharuan seperti itu perlu jika Malaysia mahu menjadi pemimpin bukan pengikut.

“Peluang tidak menunggu pengikut yang teragak-agak. Kita boleh merebutnya atau membiarkan ia berlalu,” katanya.

Redzuan mengumumkan projek kereta terbang awal tahun ini dan sejak itu beliau mempertahankannya daripada kritikan dan ejekan.

“Dua syarikat tempatan dan sebuah syarikat asing merancang untuk bekerjasama bagi menghasilkan sebanyak 10,000 kereta terbang untuk dieksport ke Indonesia dan Maldives.

“Kita boleh mencipta 2,000 pekerjaan, dan ini bukan pekerjaan bernilai rendah. Jika peraturan kita tidak dapat memenuhi tuntutan industri, kita tidak seharusnya terkejut apabila pelaburan ini pergi ke tempat lain,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kereta terbang yang diumumkan Redzuan adalah sejenis dron dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum diterbangkan.

Menurutnya, adalah tidak tepat untuk mengatakan kenderaan udara yang dikendalikan manusia sama seperti dron yang tidak dikendalikan manusia dan ia dikenakan sekatan berkaitan dengan berat dan tujuan penerbangan. – Sinar Harian