MENARIK… Selepas terima sambutan positif umat Islam di Wilayah Persekutuan, kempen berzakat selama tiga bulan anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) akan tutup penyertaan pada akhir bulan ini.

Lebih unik, agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut menyediakan dua kempen berbeza dengan tawar pelbagai hadiah menarik kepada ramai pemenang yang akan disampaikan pada Disember ini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, kempen Jom Berzakat @ zakat.com.my dan Jom Sertai Skim Thohir 2018 langsung tidak ‘sentuh’ dana zakat untuk hadiah buat pemenang.

Ujarnya, seperti juga kempen sama dilaksanakan PPZ-MAIWP sejak dua tahun lalu, semua hadiah ditawarkan ini ditaja oleh syarikat tertentu untuk galak penyertaan umat Islam di Wilayah Persekutuan menunaikan ibadah zakat.

“Bagi tahun ini, untuk kempen Skim Thohir 2018, kita bertuah dapat tajaan hadiah pakej umrah dan percutian luar negara oleh agensi pelancongan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad.

“Manakala untuk kempen Jom Berzakat pula, syarikat Seri Beauty menaja 60 hadiah iaitu 20 hadiah setiap bulan dari Ogos hingga Oktober dengan pemenang tempat pertama dapat hadiah bernilai RM1,200,” jelas Abdul Hakim.

Justeru beliau menyeru umat Islam di ibu kota tidak bertangguh tunai kewajipan Rukun Islam keempat itu kerana PPZ-MAIWP sedia banyak saluran termasuk lapan cawangan di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan satu di Labuan.

Jika sibuk dan tidak sempat ke cawangan terbabit, Abdul Hakim berkata, penyertaan untuk kempen tersebut juga boleh dibuat dengan layari portal rasmi agensi itu melalui www.zakat.com.my yang boleh diakses 24 jam setiap hari.

“Bagi yang ragu sama ada wajib bayar zakat atau tidak, mereka sebenarnya boleh buat pengiraan menerusi laman sesawang itu atau terus dapatkan bantuan rundingan dengan hubungi talian zakat 1 300 88 5757,” terang beliau.

Kesemua pemenang dua kempen tersebut bakal menerima hadiah masing-masing ketika Karnival Zakat 2018 anjuran PPZ-MAIWP yang berlangsung akhir tahun ini. Ayuh apa tunggu lagi, jom bayar zakat! – Mynewshub.TV

Loading...