Real Madrid Semakin Parah

REAL MADRID berdepan mimpi paling mengerikan apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas dimalukan 4-1 oleh Ajax dalam perlawanan kedua, peringkat 16 akhir di tempat sendiri hari ini.

Turun dengan reputasi besar selaku juara tiga kali berturut-turut, Real nyata belum bangkit daripada dua kekalahan yang dialami di tangan musuh ketat, Barcelona dalam saingan domestik.

Real yang juga juara Eropah 13 kali ditunjukkan jalan keluar secara agregat 3-5, malah terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain.

Skuad Los Blancos kini berisiko menutup kempen musim ini tanpa sebarang gelaran kerana sudah tersingkir daripada aksi Copa del Rey, malah ditinggalkan 12 mata di belakang Barcelona dalam saingan La Liga.

Beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di Santiago Bernabeu, Real bermula langkah kiri apabila ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Hakim Ziyech.

Ajax tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan 2-0 menerusi David Neres pada minit ke-18.

Memasuki babak kedua, skuad Los Blancos makin parah apabila ketinggalan 0-3 menerusi jaringan Dusan Tadic pada minit ke-62.

Real cuba mengejar dengan merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Marco Asensio pada minit ke-72.

Jaringan itu bagaimanapun tidak menggendurkan semangat Ajax yang berjaya menambah gol keempat pada minit ke-72 menerusi Lasse Schoene. – Agensi

Loading...