Real Madrid Semakin Hampir Dapatkan Luka Jovic

LONDON – Real Madrid dilaporkan semakin hampir mendapatkan penyerang, Luka Jovic memandangkan mereka mahu memperkasakan jentera serangan pada musim panas ini.

Penyerang Serbia itu sudah pun memasuki tahun keduanya bersama Frankfurt selepas dipinjamkan dari Benfica dan telah pun berpindah secara tetap pada awal minggu ini dengan kos perpindahan sebanyak 7 juta euro (RM 32 juta).

Jovic menjaringkan 25 gol dalam semua kejohanan pada musim ini malah membantu Frankfurt mara ke separuh akhir Liga Europa menentang Chelsea dan kini kelab dari Jerman itu menjangkakan harga yang tinggi daripada penyerang tersebut.

Menurut media tempatan Sepanyol, Real kini hampir memeterai perjanjian bersama Frankfurt untuk mendapatkan pemain berusia 21 tahun itu.

Bagaimanapun, bukan Real sahaja yang meminati Jovic malah Manchester City turut menghantar pencari bakat untuk melihatnya beraksi ketika menentang Benfica dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa, minggu lalu.

Pengarah City, Txiki Begiristain dilaporkan berada dalam senarai tetamu ketika perlawanan tersebut, malah Bayern Munich turut berminat untuk mendapatkan Jovic. – Agensi

Loading...