Real Madrid Rampas Tangga Teratas La Liga

PERTAHANAN Real Madrid, Nacho muncul wira apabila meledak gol untuk membantu pasukannya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Valladolid sekali gus merampas kedudukan teratas La Liga dari Barcelona.

Ia adalah penampilan keempat pemain Sepanyol itu selepas Dani Carvajal memenuhi hukuman penggantungan perlawanan tetapi Nacho berjaya membuktikan kemampuannya apabila menanduk masuk sepakan penjuru Toni Kroos minit ke-78.

Real yang tidak pernah memenangi kejuaraan liga sejak 2017, kini menduduki tangga teratas dengan mengumpul 46 mata selepas 21 perlawanan.

Barcelona tewas 0-2 kepada Valencia, Sabtu lalu yang juga kekalahan pertama di bawah bimbingan jurulatih baru, Quique Setien, menduduki tangga kedua dengan 43 mata.

Jurulatih, Zinedine Zidane selepas tamat perlawanan mendedahkan arahannya kepada Nacho adalah untuk cuba berada di kawasan gol lawan.

“Sebelum dia menjaringkan gol, saya beritahunya supaya dapat dekat dengan gawang lawan.

“Dia adalah seorang pemain pertahanan yang tidak banyak dapat menjaringkan gol. Saya amat bangga dengan prestasinya.

“Ia adalah perlawanan yang agak sukar bertemu lawan yang hanya tewas satu perlawanan di tempat sendiri dan beraksi dengan cemerlang. Berada di tangga teratas liga tidak mengubah apa-apa sebaliknya kami harus teruskan rentak cemerlang ini,” katanya. – myMetro Online

Loading...